X

Kindly register in order to view this article
!

27.9 tan daging kerbau guna sijil halal mengelirukan dirampas

Penguat kuasa Maqis Pulau Pinang sedang memeriksa 1,449 kotak daging kerbau yang dirampas di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), Butterworth pada Selasa lalu.
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 1,449 kotak daging kerbau sejuk beku dari India pada Selasa lalu.

Pengarahnya, Noriah Dahlan berkata, kesemua produk ruminan itu dirampas di Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada jam 5.45 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan dagangan tersebut menggunakan maklumat yang mengelirukan.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, kita merampas 27,998 kilogram daging kerbau sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM427,691.

"Rampasan dibuat selepas mendapati maklumat pada sijil halal yang dikeluarkan dari negara pengeksport adalah tidak tepat dan berbeza dengan maklumat perlabelan pada bungkusan dagangan yang diimport," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

"Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Katanya, Maqis Pulau Pinang akan sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit, bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!