Premis proses makanan sejuk beku disyaki curi air

Sebuah premis di Nilai diserbu pada Rabu kerana disyaki mencuri air.
Sebuah premis di Nilai diserbu pada Rabu kerana disyaki mencuri air.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah premis memproses dan membekal makanan sejuk beku di Nilai diserbu selepas disyaki melakukan penyambungan air secara haram pada Rabu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Norzita Ismail berkata, serbuan jam 11 pagi itu dilakukan oleh Sains bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurut beliau, siasatan di lokasi mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan Tee Off jenis Stainless Steel bersaiz 18.75 milimeter (mm) tanpa melalui sebarang meter Sains.

"Bekalan air yang didapati daripada sambungan tidak sah itu dikenalpasti digunakan untuk kegunaan operasi perniagaan premis tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Norzita berkata, pegawai penguatkuasa Sains turut menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

"Pihak SPAN telah menyita semua pemasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti selain mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada penghuni premis berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersil mahupun domestik.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil atau pun Non Revenue Water (NRW).

"Sains terlebih dahulu ingin mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kesedaran masyarakat bersama-sama membantu Sains dalam usaha mengurangkan kes curi air di negeri ini," katanya.

Katanya, pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982. Setiap maklumat peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan oleh pihak Sains.