X

Kindly register in order to view this article
!

204 kompaun rentas negeri

Abdullah (tengah) bersama Abdul Rahim Daud (kiri) melihat lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Pulau Tukang Dollah Pengkalan Chepa, Kota Bharu yang akan bermula jam 12.01 tengah malam ini sehingga sehingga 8 Julai ini.
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengeluarkan sebanyak 496 kompaun kerana kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Januari sehingga Rabu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asistan Komisioner, Abdullah Mohammed Piah berkata, kompaun yang termasuk 204 kesalahan rentas negeri itu membabitkan kadar RM1,500 sehingga RM20,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, kesalahan lain yang dikesan ialah 110 tidak memakai pelitup muka, 31 kes gagal menjaga penjarakkan fizikal manakala 25 kes membabitkan keluar rumah tanpa alasan dan enam kes membawa lebih penumpang dalam kenderaan.

“Bagi premis pula, sebanyak 69 dikenakan kompaun kerana gagal menyediakan peralatan dan rekod pelanggan, beroperasi lebih masa sebanyak 12 kes serta mengadakan pelbagai aktiviti terlarang, 36 kes,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Al-Taqwa di Kampung Pulau Tukang Dollah Pengkalan Chepa, di sini, pada Khamis.

Beliau sebelum itu melawat ke kampung berkenaan yang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula jam 12.01 tengah malam ini sehingga sehingga 8 Julai ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.

Abdullah berkata, empat laluan keluar masuk ke kampung itu akan dibina sekatan menggunakan kawat duri oleh 25 petugas pelbagai agensi termasuk menempatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal lokaliti itu.

Katanya, penduduk berjumlah 866 daripada 188 rumah menjalani ujian swab Covid-19 di Masjid Al-Taqwa bermula pada pagi Khamis dan dipakaikan gelang merah jambu.

“Selainnya, PKPD di Tumpat iaitu di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu dan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor akan berkahir pada tengah malam ini (Khamis).

“Dua lagi di Pasir Puteh iaitu di Taman Sri Purnama Kampung Nara dan Merbau Utama Mukim Bukit Jawa Selising akan berakhir pada 2 dan 3 Julai ini,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 45 Sekatan Jalan Raya (SJR) dijalankan iaitu 24 SJR statik dan 21 SJR bergerak.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!