Gol Christine Sinclair lebih banyak daripada Ronaldo

 Christine Sinclair
Christine Sinclair
A
A
A

PENYERANG Portugal, Cristiano Ronaldo menyamai rekod penjaring terbanyak bagi kategori bola sepak lelaki di peringkat antarabangsa dengan 109 gol menyamai jumlah jaringan dilakukan pemain Iran, Ali Daie.

Namun, jumlah 109 gol tersebut bukanlah bermakna Ronaldo berjaya mengungguli penjaring terbanyak dunia kerana rekod itu ketika ini dipegang oleh pemain bola sepak wanita Kanada, Christine Sinclair.

Sinclair yang beraksi bersama skuad kebangsaan Kanada ketika ini merekodkan 186 gol daripada 297 perlawanan dan akan menambah jumlah jaringan tersebut apabila dia beraksi di Sukan Olimpik Jepun nanti.

Pemain berusia 38 tahun itu memperbaharui rekod penjaring gol terbanyak pada Januari tahun lepas ketika menentang St Kitts and Nevis dalam saingan Kelayakan Olimpik.

Bukan hanya menjadi penjaring terbanyak di peringkat antarabangsa, Sinclair juga telah bermain dalam lima kejohanan Piala Dunia dan dua perlawanan Olimpik selain memenangi banyak kejuaraan bersama kelab yang diwakilinya.

Selain Sinclair, terdapat tujuh lagi pemain wanita yang mempunyai gol antarabangsa lebih banyak daripada Ronaldo dengan dua pemain itu masih aktif bermain dengan pasukan kebangsaan.

Malah, 109 gol yang dicatat oleh Ronaldo itu hanya menyamai rekod gol oleh pemain bola sepak wanita Amerika Syarikat Alex Morgan dan pemain Brazil, Marta yang turut akan menambah koleksi gol mereka pada kejohanan Olimpik akan datang.

Beberapa pemain wanita lain yang termasuk dalam penjaring terbanyak dunia iaitu pemain Scotland Julie Fleeting yang telah meledak 116 gol, Lloyd (125) dan pemain Jerman Birgit Prinz (128), trio pemain Amerika Syarikat (130), Mia Hamm (158) dan Wambach (184) disusuli Sinclair selaku penjaring terbanyak dunia.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ronaldo bikin sejarah lagi