Rokok seludup bernilai RM13.9 juta dirampas

Sebanyak 18.5 juta bernilai RM13.9 juta dirampas dalam dua serbuan.
Sebanyak 18.5 juta bernilai RM13.9 juta dirampas dalam dua serbuan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Sebanyak 18.5 juta batang rokok putih tidak bercukai bernilai RM13.9 juta dirampas dalam dua serbuan di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini pada awal pagi Rabu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, serbuan pertama di sebuah gudang pada jam 5 pagi manakala serbuan kedua di sebuah stor di kawasan sama.

Menurutnya, lima lelaki termasuk seorang warga emas berusia 63 tahun yang merupakan pekerja kepada sindiket turut ditahan.

"Risikan dilakukan sejak empat bulan lalu tetapi dihentikan seketika pada April selepas ahli sindiket menyedari mereka diekori anggota polis. Bagaimanapun awal pagi semalam, kita berjaya menyerbu kedua-dua premis itu.

"Turut disita dalam serbuan itu ialah wang tunai RM2,200, empat buah lori dan dua buah kereta. Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan bernilai RM14.2 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini pada Khamis.

Bagaimanapun menurutnya, polis masih berusaha mengesan dalang di sebalik sindiket yang masih aktif menjalankan kegiatan mereka sehingga ke pantai timur, Kuala Lumpur, Selangor dan selatan tanah air.

Zainal Abidin menunjukkan lori yang dirampas dalam dua serbuan pada Rabu.
Zainal Abidin menunjukkan lori yang dirampas dalam dua serbuan pada Rabu.

"Mereka menjadikan gudang dan stor tersebut sebagai tempat menyimpan rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran melalui laluan laut.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga percaya, kesemua rokok ini dipindahkan di tengah laut sebelum dibawa ke dua premis tersebut menggunakan kontena," katanya.

Beliau berkata, gudang tersebut didaftarkan di atas nama sebuah syarikat dan polis sedang menjalankan siasatan terhadap syarikat berkenaan.

"Sindiket ini turut menggunakan beberapa jenis lori perdagangan termasuk yang membawa makanan sejuk beku selain mempunyai surat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sah.

"Mereka boleh melepasi sekatan jalan raya (SJR) walaupun dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh. Lori perdagangan perlu diberi laluan kerana mereka menghantar makanan," katanya.

Zainal Abidin berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan 36 hingga 63 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mereka akan direman empat hari sehingga 27 Jun ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.