PFA gantung jawatan presiden, naib presiden 2, setiausaha agung

No Image Caption
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) sebulat suara memutuskan untuk menggantung jawatan Presiden PFA Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, berkuat kuasa hari ini.

Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, penggantungan tugas presiden itu diputuskan melalui mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan berkenaan semalam, berkuat kuasa sehingga tarikh Kongres PFA berikutnya yang belum ditetapkan.

“PFA mengambil tindakan tersebut merujuk kepada peruntukan statut PFA pada artikel 36, 37 dan 38.

“Selain itu, Presiden PFA dilihat turut melanggar perjanjian penajaan antara Kelab Bola Sepak Qhaleefa yang mana Presidennya adalah beliau (Ahmad Amizal Shaifit) dan PFA yang dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan kepada hari ini.

Mohd Abdul Karim Khan juga memaklumkan jawatan Naib Presiden 2 PFA dipegang Muhammad Sukur Hashim, turut digantung di samping ‘merehatkan’ Setiausaha Agung PFA yang disandang Adib Rabani Muaz Abul Malik sehingga tarikh Kongres PFA seterusnya.

Beliau berkata keputusan sebulat suara itu juga dibuat berikutan Muhammad Sukur dan Adib Rabani Muaz juga adalah individu yang mewakili Kelab Bola Sepak Qhaleefa.

“Susulan keputusan diambil ini, ketiga-tiga individu berkenaan dilarang menjalankan sebarang tugasan berkaitan sepertimana tempoh ditetapkan,” katanya.

Pada mesyuarat itu juga, satu keputusan sebulat suara dicapai dengan menetapkan Timbalan Presiden PFA menjalankan tugas presiden manakala jawatan setiausaha agung akan dijalankan Penolong Setiausaha Agung PFA Naimulddin Haron.

Artikel Berkaitan:

Mohd Abdul Karim Khan berkata tindakan drastik itu dibuat bagi memulihkan kembali imej PFA yang terpalit pelbagai isu sehingga disingkirkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) daripada saingan Liga Malaysia.

Beliau berkata PFA juga berharap semua pihak faham dengan kekangan dihadapi anggota Exco persatuan berkenaan yang mengambil tindakan tersebut, dan terpaksa akur degan ketetapan yang dipersetujui itu.

“Diharapkan semua pihak termasuk pemerintah negeri, anggota gabungan serta penyokong bola sepak Perlis memberi semula sokongan penuh kepada kepimpinan baharu PFA yang memegang tanggungjawab terkini dalam usaha mengembalikan PFA dalam saingan Liga Malaysia,” katanya. - Bernama