KASA lancar pelan antirasuah, garis 34 pelan tindakan

KASA melancarkan OACP 2021-2025 secara maya pada Khamis yang menggariskan 34 pelan tindakan melibatkan antaranya pengurusan kewangan, tadbir urus dan pengurusan alam sekitar.
KASA melancarkan OACP 2021-2025 secara maya pada Khamis yang menggariskan 34 pelan tindakan melibatkan antaranya pengurusan kewangan, tadbir urus dan pengurusan alam sekitar.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2021-2025 yang dilancarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada Khamis diyakini dapat meningkatkan tahap integriti tadbir urus dan amalan antirasuah di negara ini.

Pelan itu juga antara usaha mengubah kedudukan Malaysia dan indeks persepsi rasuah melalui OACP.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif OACP KASA turut memuatkan aspek pengurusan alam sekitar dan air supaya menepati misi utama kementerian iaitu memastikan kelestarian alam sekitar yang mampan.

"OACP KASA juga merupakan 'living document' yang boleh sentiasa diawasi dari masa ke masa bagi memastikan ia relevan serta responsif terhadap perkembangan semasa," katanya pada Majlis Pelancaran OACP KASA 2021-2025 secara serentak dalam talian menerusi aplikasi Zoom dan Facebook KASA.

Pelancaran secara maya itu turut disertai ialah Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Timbalan Menteri, Senator Dr Ahmad Masrizal Muhammad serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata penghasilan dokumen penting itu mendapat sokongan pelbagai pihak terutama SPRM, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam termasuk pegawai dari semua bahagian dan unit di semua peringkat KASA.

Sementara itu, Azam berkata, beliau dimaklumkan SPRM terlibat dalam membantu pelaksanaan bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) di peringkat pembangunan OACP KASA.

Menurut beliau, CRM merupakan nadi kepada pembangunan OACP kerana risiko dan masalah dalam organisasi dapat dikenalpasti melalui pelan tindakan yang akan diwujudkan.

Artikel Berkaitan:

"SPRM mengalu-alukan pelancaran OACP KASA dan berharap imej serta kualiti perkhidmatan KASA lebih mantap ke arah memberi perkhidmatan terbaik serta mencapai matlamat Pelan Antirasuah Nasional (NACP)," katanya.