X

Kindly register in order to view this article
!

Bicara kes rasuah Bung Moktar, isteri ditangguh 26 Julai

Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A Samad
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A Samad, yang dijadual didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu ditangguh ke 26 Julai, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis berkata, perkara tersebut dimaklumkan oleh mahkamah menerusi e-mel kepada kedua-dua pihak sebelum ini.

“Mahkamah telah menetapkan tarikh baharu selama lima hari bermula 26 hingga 30 Julai ini untuk sambung bicara dan saksi pendakwaan ke-19, iaitu bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Mohmad Isa Hussain akan menyambung keterangan apabila perbicaraan bersambung nanti,” katanya.

Kes itu sebelum ini ditetapkan untuk sambung bicara selama tiga hari bermula Rabu di hadapan Hakim Rozina Ayob, namun ditangguh berikutan PKP 3.0.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar, 62, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, iaitu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra pada ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!