PJS sedia bantu ISAM corak hala tuju

Ibrahim Mohd Yusof
Ibrahim Mohd Yusof
A
A
A

PEJABAT Pesuruhjaya Sukan (PJS) akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Meluncur Ais Malaysia (ISAM) yang kembali menjadi badan kawal selia sukan itu sejak bulan lalu, bagi menentukan hala tuju sukan berkenaan.

Menurut Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof, beliau juga sedia membantu ISAM untuk mengambil tindakan susulan bagi memastikan perjalanan sukan luncur ais negara tidak terjejas.

Beliau berkata, perbincangan tersebut juga akan melibatkan badan kawal selia sukan berkenaan sebelum ini iaitu Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF).

“Kita akan menunggu masa sesuai untuk mengadakan perbincangan bagi menentukan kelancaran ISAM sebagai pengawal selia sukan luncur ais negara.

“Sesi berkenaan juga akan membincangkan aspek laporan tahunan ISAM yang tertangguh sebelum ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan terbaharu berhubung tindakan PJS dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memutuskan ISAM dikembalikan kedudukannya sebagai badan kawal selia sukan luncur ais negara ini, berkuat kuasa serta-merta selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Mei lalu.

Ibrahim berkata, pihaknya masih belum menetapkan masa sesuai bagi mengadakan sesi perbincangan itu kerana mahu kesemua pihak terlibat mendalami sepenuhnya isu berkenaan terlebih dahulu.

Sehubungan itu, beliau berharap perbincangan akan berjalan dengan lancar seterusnya menyaksikan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan cara baik.

Artikel Berkaitan:

Pada Januari 2019, media melaporkan kedudukan ISAM sebagai sekutu MOM ditamatkan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan PJS membatalkan pendaftaran ISAM pada Mei 2018 atas dakwaan persatuan itu gagal menyerahkan laporan tahunan dari 2013 hingga 2018.

Pada Disember 2018, PJS juga mengesahkan Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF) sebagai pengawal selia baharu sukan itu, memaksa ISAM membawa kes tersebut ke mahkamah pada Mac 2019. - Bernama