16 kontena kelapa kering berulat dari Papua New Guinea dirampas

Maqis menahan 16 kontena membawa 225 tan kelapa kering mengandungi serangga perosak dipercayai daripada spesis necrobia rufipes di Pelabuhan Pasir Gudang pada Selasa.
Maqis menahan 16 kontena membawa 225 tan kelapa kering mengandungi serangga perosak dipercayai daripada spesis necrobia rufipes di Pelabuhan Pasir Gudang pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 16 kontena membawa 225 tan kelapa kering dari Papua New Guinea ditahan di Pelabuhan Pasir Gudang di sini pada Selasa selepas dikesan mengandungi serangga perosak.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor, Hizzuan Hasim berkata, hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan anggota penguat kuasa pada jam 8 malam itu menemukan serangga perosak dipercayai daripada spesis necrobia rufipes pada kelapa kering berkenaan.

"Maqis juga mendapati nombor rujukan permit tidak dicatatkan pada sijil fitosanitasi yang dikemukakan.

"Kesemua kelapa kering yang dianggarkan bernilai RM778,500 telah ditahan untuk tindakan lanjut. Ejen penghantaran telah diambil keterangan dan dilepaskan" katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Hizzuan, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport produk pertanian yang dipercayai mempunyai perosak, penyakit atau bahan cemar.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"Sementara bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya," katanya.

Artikel Berkaitan: