Ambil alih tol: Najib kata tindakan tidak adil

Paparan di Facebook hari ini.
Paparan di Facebook hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan kerajaan memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuhraya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Beliau berkata, Gamuda dimiliki rakyat melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Berhad, Amanah Saham Bumiputera dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Menurutnya, menerusi kaedah tersebut, ia memberi makna kerajaan mahu menggunakan duit pelaburan rakyat untuk membeli konsesi tol.

"Konsesi tol ini terletak di Kuala Lumpur sahaja. Sudah tentu ini tidak akan memberi apa-apa pulangan kepada pelaburan rakyat Malaysia.

"Sudah tentu juga ia tidak adil kepada pencarum dari luar Kuala Lumpur," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda untuk mengambil alih konsesi lebuh raya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

Katanya, lebuhraya yang terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Jelasnya, sekiranya rundingan tersebut berjaya, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan digantikan dengan beberapa kaedah lain yang meringankan beban rakyat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Najib berkata, kaedah kutipan tol mengikut kadar sama hanya dijenamakan semula sebagai caj kesesakan.

"Kutipan tol dicadangkan untuk dihapuskan hanya dari 11 malam hingga 5 pagi.

"Ini bermakna kalau tak nak bayar tol, sila bangun jam 4 pagi dan pergi kerja jam 5 pagi. Lepas kerja jangan balik dulu, tunggu jam 11 malam baru balik. Kenapa tak kaji berapa ramai pergi kerja 5 pagi dan balik 11 malam?" soalnya.

Katanya, pekerja konsesi tol juga perlu mula risau kerana kestabilan pekerjaan mereka kini tergugat.

"Saya yakin ada sebilangan besar yang akan kehilangan nafkah hidup dengan langkah ini.

"Siapa yang ajar teori hapus tol ini?"soalnya lagi.