Surat tawar diri jadi PM: Hishammuddin gesa dalang disiasat

Surat palsu yang mengatakan Hishammuddin mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan baharu.
Surat palsu yang mengatakan Hishammuddin mempunyai sokongan untuk membentuk kerajaan baharu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien akan membuat laporan polis pada Khamis susulan sebaran sepucuk surat yang mendakwa kononnya beliau menawarkan diri sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, laporan polis itu akan dibuat supaya siasatan segera dapat dilakukan bagi mengenal pasti dalang di sebalik tindakan yang disifatkan sebagai amat tidak bertanggungjawab itu.

“Seperti dinyatakan oleh Unit Komunikasi saya semalam, surat ini adalah palsu dan tidak benar.

”Satu laporan polis akan dibuat hari ini (Khamis) supaya siasatan segera dapat dilakukan bagi mengenal pasti dalang di sebalik tindakan yang amat tidak bertanggungjawab ini,” tegas Hishammuddin dalam kenyataan di Facebooknya pada Khamis.

Pada Rabu, tular surat palsu bahawa Hishammuddin yang juga merupakan ahli Parlimen Sembrong didakwa menawarkan diri beliau sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikutan itu, pasukan penyokong Hishammuddin, #H2OTeam di Twitter memaklumkan bahawa surat tersebut bersifat fitnah dan bertujuan untuk mengelirukan pandangan umum.

“Surat yang tersebar yang dikaitkan dengan @Ds HishammuddinH2O adalah palsu dan tidak benar.

“Ini hanyalah provokasi politik yang berniat jahat, mengadakan fitnah untuk mengelirukan umum,” ciap #H2OTeam di Twitter pada Rabu malam.

Artikel Berkaitan:

Antara intipati surat tersebut menyatakan bahawa Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) mencalonkan Hishammuddin sebagai Perdana Menteri selain senarai jemaah menteri daripada UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), MCA, Parti Warisan Sabah (Warisan), Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut disertakan.

Surat berkenaan dipercayai tersebar di media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp pada Rabu antara lain turut menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pada 10 Jun lalu, Hishammuddin diheret dalam permainan politik kotor apabila difitnah akan menggantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Keesokan harinya, tular sepucuk surat memaklumkan Hishammuddin dilucutkan keahlian sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta namun ia dinafikan oleh Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hishammuddin sekali lagi jadi sasaran fitnah