Naik bas ke Balik Pulau untuk pecah CDM

Suspek berjaya ditahan ketika sedang memecahkan mesin CDM di Balik Pulau pada malam Rabu.
Suspek berjaya ditahan ketika sedang memecahkan mesin CDM di Balik Pulau pada malam Rabu.
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang penganggur ditahan polis ketika cuba memecahkan mesin deposit tunai (CDM) di Lintang Bukit Penara di sini pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam kejadian jam 9.40 malam itu, suspek berusia 39 tahun ditahan selepas polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati perbuatan suspek itu menyebabkan satu daripada dua mesin CDM di bank berkenaan mengalami kerosakan di tempat pengeluaran wang dan pintu penghadang mesin.

"Suspek berjaya ditahan di lokasi ketika polis tiba di situ. Suspek menggunakan sebatang besi disyaki komponen kenderaan semasa cubaan memecah mesin CDM tersebut.

"Bagaimanapun, suspek gagal memecahkan mesin CDM itu sebelum ditangkap polis pada jam 10 malam tadi," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Katanya, suspek masih bujang dan mempunyai empat rekod lampau melibatkan dadah.

"Suspek tinggal di Georgetown dan datang ke sini (Balik Pulau) menggunakan perkhidmatan bas awam. Difahamkan suspek berbuat demikian kerana kesempitan hidup yang dihadapinya.

"Saya tidak menolak kemungkinan suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Khamis untuk mendapatkan perintah reman.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.