Peniaga rugi RM23,000 terpedaya skim pelaburan tidak wujud

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga kerugian RM23,125 selepas terpedaya dengan ajakan kenalan maya yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook untuk melabur dalam skim pelaburan tidak wujud pada 14 Jun lalu.

Mangsa 51 tahun dikatakan telah dipujuk kenalan mayanya yang dikenali panggilan Sisi supaya menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan berganda selepas beberapa hari mengenai gadis berasal dari China itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa bersetuju untuk membuat pelaburan mata wang dan satu pautan telah diberikan suspek kepadanya.

"Mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM8,220 ke dalam akaun yang diberikan. Bagi memastikan keuntungan berganda mangsa memasukkan lagi wang RM14,905 melalui empat transaksi pada hari berikutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, selepas beberapa minggu membuat pelaburan, mangsa mahu mengeluarkan wang tersebut, namun akaun miliknya telah disekat oleh ejen pelaburan tersebut.

Katanya, mangsa menghubungi suspek untuk bertanyakan mengenai perkara itu, namun suspek meminta mangsa memasukkan lagi wang sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh bagi membolehkan semua wang tersebut dikeluarkan

"Mangsa merasakan dirinya telah ditipu dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, modus operandi yang digunakan suspek ialah memperdaya mangsa dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud melalui Facebook.