MPM tabik pencapaian luar biasa Bonnie

Laporan Sukan Sinar baru-baru ini. Gambar kecil: Megat D Shahriman
Laporan Sukan Sinar baru-baru ini. Gambar kecil: Megat D Shahriman
A
A
A

KEJAYAAN atlet powerlifting para negara, Bonnie Gustin memecahkan rekod dunia dengan mengangkat bebanan seberat 230 kilogram (kg) pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) disifatkan sebagai satu pencapaian luar biasa dan membanggakan negara.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin berkata, kejayaan atlet kelahiran Sarawak berusia 21 tahun itu juga memberikan petanda baik untuk kontinjen negara meraih pingat pada temasya Paralimpik Tokyo yang dijadualkan 24 Ogos hingga 5 September depan.

“Pertamanya, kami di pihak Majlis Paralimpik Malaysia mengucapkan tahniah dan berbangga atas kejayaan Bonnie kali ini.

“Malah sebelum dia berlepas ke Dubai, saya ada menemuinya dan memberikan kata-kata semangat agar dia melakukan yang terbaik pada kejohanan berkenaan dan seterusnya pada Paralimpik Tokyo, nanti.

“Secara keseluruhannya, kejayaan Bonnie ini juga adalah kejayaan bagi persatuan paralifting negara dan kami di MPM akan terus memberikan sokongan kepada mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Powerlifting: Bonnie luar biasa, pecah rekod dunia

Agong zahir ucapan tahniah kepada Bonnie

Kejayaan Bonnie itu sekali gus memecahkan rekod peribadinya sendiri yang dicatat ketika meraih emas pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, pada 8 Mei lalu dengan angkatan 226kg.

Sementara itu, Megat D Shahriman berkata, pihaknya juga sedang memikirkan mengenai insentif yang kepada Bonnie atas kejayaan berkenaan.

“Insya-ALLAH kita sedang usahakan untuk pemberian insentif ini, kalau buat masa ini, mungkin insentif yang diberikan dalam bentuk kewangan dan saya sudah pun bertanya kepada beberapa penaja berhubung perkara ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga dapat merasakan bahawa Bonnie akan membuatkan kita semua merasa bangga dengannya pada temasya Paralimpik Tokyo nanti,” katanya.