X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih baik buat pemilihan UMNO daripada desak buka Parlimen

Pemilihan UMNO sepatutnya dilaksanakan pada tahun ini kerana khidmat MKT bagi penggal tahun 2018 hingga tahun 2021 sudah pun tamat. Gambar kecil dari kiri: Datuk Md Alwi Che Ahmad, Mohd Irwan
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad berpandangan pucuk kepimpinan parti lebih baik memfokuskan keputusan melaksanakan pemilihan parti berbanding mendesak sidang Parlimen dibuka segera pada saat krisis Covid-19 masih serius.

Jelas beliau, keperluan UMNO melaksanakan pemilihan parti sebenarnya amat mendesak, mengambil kira tempoh perkhidmatan ahli-ahli MKT sedia ada bagi penggal tahun 2018 hingga tahun 2021 sudah pun tamat.

Katanya, proses pemilihan UMNO juga sangat penting bagi menyatukan kembali saf kepimpinan parti yang semakin berpecah saat ini, susulan terdapat pihak yang beria-ria untuk mewujudkan jajaran baharu dengan parti pembangkang.

"UMNO tidak boleh terus beri persepsi buruk kepada rakyat dengan membuat desakan yang tidak selari dengan keperluan mereka, lebih-lebih lagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang dibentang sebelum ini.

"Selaku parti yang terlibat membentuk kerajaan PN, sepatutnya UMNO perlu berusaha mempertahankan kerajaan sedia ada dan fokus kepada usaha menyelamatkan rakyat daripada kesan pandemik Covid-19.

"Daripada asyik mendesak sidang Parlimen dilaksanakan segera, Zahid dan pucuk kepimpinan parti sepatutnya kena putuskan bila tarikh terbaik adakan pemilihan UMNO kerana tempoh penggal perkhidmatan ahli-ahli MKT sudah tamat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Semalam, seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin menggesa pemilihan disegerakan supaya Ahmad Zahid dapat mengubah keputusan parti yang sebelum ini menolak kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ini kerana presiden parti dan sekutunya masih meneruskan kerjasama dengan Anwar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim turut mendedahkan seorang Ahli Parlimen daripada UMNO mengaku beliau menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri.

Shahidan berkata, ahli Parlimen itu memberitahunya beliau menandatangani dokumen sokongan itu pada 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Ahmad Zahid serta seorang individu kenamaan.

Pandangan Md Alwi turut dipersetujui Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah yang berpandangan kepimpinan tertinggi parti perlu memberi perhatian terhadap isu pentadbiran UMNO yang sehingga masih tidak diberi penjelasan penuh.

Ujarnya, UMNO perlu adil dalam mengutamakan isu-isu berbangkit dalam parti termasuklah perkara membabitkan kredibiliti Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO yang sehingga kini masih dikaitkan dengan usaha pembentukan jajaran baharu bersama Anwar dan DAP.

"Ini bagi membersihkan nama Presiden dan yang paling utama nama baik UMNO. Ini juga perlu diselesaikan segera.

"MKT perlu mesyuarat dan mengumumkan keputusan mereka berkenaan mesyuarat perwakilan dan segala isu berbangkit mengikut segala aturan yang ada," katanya.

Mohd Irwan turut berpandangan kenyataan Ahmad Zahid mendesak kerajaan PN menghormati titah Yang di-Pertuan Agong agar sidang Parlimen diadakan dalam tempoh 14 hari juga adalah amat mengelirukan rakyat.

Jelas beliau, ayat digunakan Ahmad Zahid tidak mencerminkan hasrat sebenar titah Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu yang langsung tidak menyatakan tempoh 14 hari sebagaimana dituntut UMNO.

"Maka timbul persoalan siapa yang mengeluarkan kenyataan 14 hari tersebut? Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa.

"Maka adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk menetapkan sebarang tarikh bagi memanggil sidang parlimen kecuali Yang di-Pertuan Agong," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!