Benarkan kedai buku, alatan tulis dibuka

Kerajaan diminta membenarkan kedai buku ataupun alatan tulis dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Gambar kecil dari kiri: Mohamed Saat, Mohamad Ali, Azizi
Kerajaan diminta membenarkan kedai buku ataupun alatan tulis dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Gambar kecil dari kiri: Mohamed Saat, Mohamad Ali, Azizi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya membenarkan kedai buku ataupun alatan tulis dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ini berikutan ramai ibu bapa berdepan dengan masalah untuk mendapatkan barangan keperluan sekolah anak-anak bagi tujuan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan pandemik Covid-19 melanda di negara.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, kerajaan wajar membenarkan kedai-kedai buku atau alatan tulis dibuka dalam tempoh masa tertentu sahaja.

“Ia merupakan satu keperluan penting untuk proses pembelajaran anak-anak di rumah. Justeru, kedai-kedai buku ataupun alat tulis diberi kebenaran untuk buka dalam tempoh masa tertentu sama ada di pasar raya, pusat beli-belah ataupun kedai-kedai berkaitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Selain itu, Mohamad Ali berkata, pihak PIBG atau pihak sekolah juga boleh membantu ibu bapa dengan mengambil pesanan kemudian membelinya di kedai-kedai berkaitan.

“Ibu bapa diharap dapat memberikan sedikit komisen ataupun bayaran kepada PIBG sebagai inisiatif membantu mereka mendapatkan barangan keperluan sekolah untuk anak-anak.

“Ketiga, ibu bapa sendiri boleh membuat pesanan dengan kedai-kedai buku ataupun alat tulis melalui secara online. Jadi, saya kira cara ini juga munasabah dan boleh dilakukan ketika ini,” katanya.

Mengulas isu sama, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kerian, Profesor Madya Dr Mohamed Saat Ismail, turut menggesa kerajaan supaya membenarkan semua kedai bahagian buku dan alatan tulis dibuka dalam tempoh PKP3.0.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya, kerajaan membenarkan semua koperasi di setiap sekolah beroperasi seperti biasa. Ini juga salah satu kaedah untuk membantu ibu bapa mendapatkan barangan keperluan sekolah anak mereka seperti buku, alat tulis dan lain-lain dengan cepat dan mudah,” katanya.

Tambah Mohamed Saat, kerajaan seharusnya menganggap pendidikan juga merupakan sektor penting selain kesihatan.

“Dalam tempoh PKP ini, semua pihak perlu all out. Masing-masing perlu bekerjasama antara satu sama lain dalam melahirkan suasana pendidikan yang selesa dan kondusif.

“Peranan guru juga amat penting. Mereka perlu lebih kreatif dengan memanfaatkan teknologi sedia ada. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan aplikasi seperti Webinar, Google Meet atau Zoom untuk melaksanakan PdPR,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Datuk Azizi Abd Hamid turut sependapat dengan Mohamed Saat. Guru perlu memainkan peranan bagaimana untuk mengolah cara pembelajaran yang tidak memerlukan faktor-faktor luaran.

“Dalam situasi ini, guru perlu bijak menyesuaikan keadaan. Mereka perlu tahu macam mana kaedah pembelajaran digunakan dalam bentuk PdPR.

“Pada masa sama, guru juga perlu permudahkan urusan ibu dan pelajar, jangan susahkan mereka. Kalau tahu kedai buku dan alat tulis tutup, mereka perlu olah bagaimana nak selesaikan masalah ini.

“Bagi saya murid-murid perlu faham apa yang patut dibuat. Kita jangan buat mereka tertekan,” katanya.