UMNO kunci mulut isu kutip SD sokong Hishammuddin, Anwar

Gambar kecil dari kiri: Datuk Seri Ahmad Maslan, Zainal Abidin
Gambar kecil dari kiri: Datuk Seri Ahmad Maslan, Zainal Abidin
A
A
A

SHAH ALAM - Pucuk kepimpinan UMNO mengunci mulut daripada menjawab isu dakwaan kutipan tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen parti itu, sama ada bertujuan menyokong Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu kiriman pesanan ringkas WhatsApp sebaliknya memberi penjelasan beliau 'tiada jawapan' terhadap perkara itu.

Ahli Parlimen Pontian itu turut menafikan dakwaan terdapat satu perjumpaan di antara pucuk kepimpinan UMNO dan ahli-ahli Parlimen parti itu di rumah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kajang pada Rabu.

Desas-desus perjumpaan itu timbul susulan Ahmad Zahid dan Jawatankuasa Biro Politik UMNO difahamkan mahu membincangkan pendedahan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengenai isu kutipan SD membabitkan 25 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menjadikan Hishammuddin sebagai jurucakap mereka.

“Tiada jawapan dari saya buat sementara ini. Maaf.

“(Mengenai perjumpaan khas) Tiada perjumpaan itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu sidang media maya mendedahkan seorang ahli Parlimen UMNO mengaku menandatangani dokumen sokongan untuk Anwar dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya, ahli Parlimen tanpa dinamakan itu memaklumkan beliau menandatangani dokumen sokongan itu 7 Jun lalu di hadapan Anwar dan Ahmad Zahid serta seorang ‘kenamaan’.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, jumlah keseluruhan ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah seramai 41 orang dengan sekurang-kurangnya 20 daripadanya dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique mengakui polemik gerakan kutipan tandatangan SD ahli-ahli Parlimen UMNO, sama ada menyokong Hishammuddin atau Anwar telah menggusarkan ahli akar umbi parti.

Jelas beliau, sekiranya benar dakwaan Shahidan mengenai terdapat ahli Parlimen UMNO menandatangani SD menyokong Anwar, beliau sepatutnya perlu membuat laporan bertulis kepada Lembaga Disiplin UMNO.

“Berkenaan soal kesahihan gerakan kutip SD ini, saya sendiri pun kurang pasti kerana bukan wakil rakyat.

“Namun, pada pandangan saya, SD yang dikumpul (Mohamed Nazri) mungkin bertujuan melindungi keputusan dibuat di peringkat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) iaitu ‘No Anwar, No DAP’.

“Sekiranya dakwaan ahli Parlimen UMNO tandatangan SD sokong Anwar betul, mungkin Shahidan patut buat laporan bertulis kepada Lembaga Disiplin parti untuk meredakan kegusaran akar umbi,” katanya.