MOM kemuka rayuan isu slot Jun Hoong

Mohamad Norza, Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
Mohamad Norza, Laporan Sukan Sinar pada Rabu.
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) berhubung tidak ada slot yang diperuntukkan kepada atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong beraksi dalam acara 10 meter platform individu di Sukan Olimpik Tokyo bulan depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, rayuan telah pun dikemukakan dan berharap ia akan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada pihak yang berkenaan.

“Bagi kita, setiap sukan ada persekutuan antarabangsanya yang tersendiri dan kita dah cuba merayu kepada pihak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berhubung perkara ini.

“Bagi kita adalah satu kerugian sekiranya Jun Hoong tidak dapat beraksi di Olimpik. Oleh itu rayuan mengenai perkara itu telah pun kita buat pagi tadi (semalam), dan kita menunggu respon dan keputusan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Terdahulu, FINA memaklumkan kepada Persatuan Renang Malaysia (MAS) bahawa tidak ada slot yang akan diperuntukkan kepada Jun Hoong untuk bertanding dalam acara 10 meter platform individu pada Sukan Olimpik Tokyo kali ini.

Ini berikutan perubahan dalam peraturan kelayakan kuota individu yang hanya menetapkan 12 tempat diperuntukkan selepas Kejohanan Terjun Dunia FINA 2021 di Tokyo, Mei lalu berbanding 18 sebelum ini.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan media semalam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berharap pihak IOC dan FINA dapat memberi pertimbangan semula berhubung perkara berkenaan.

Malah, Reezal Merican berkata, beliau turut mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk berbincang secara terperinci perkara berkenaan dengan Jun Hoong, jurulatih serta pihak MAS dalam usaha meneruskan program latihan atlet terjun berkenaan, yang terbukti berkesan.

Artikel Berkaitan:

“Saya difahamkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah pun menghantar surat rayuan kepada IOC yang turut terlibat dengan perubahan syarat kelayakan tersebut.

“Bagaimanapun, keputusan daripada FINA dilihat bertentangan dengan syarat kelayakan asal yang diluluskan oleh FINA sebelum itu dan ia telah menjejaskan harapan Jun Hoong serta beberapa penerjun dari negara lain.

“Saya amat memahami kekecewaan yang dialami oleh Jun Hoong pada ketika ini. Saya juga memahami kesukaran yang beliau lalui sebelum ini untuk melakukan kemunculan semula di mana pada satu ketika beliau telah hampir bersara ekoran kecederaan dan pembedahan yang beliau alami.

“Semoga Jun Hoong akan dapat meneruskan program latihan menuju Sukan Asia 2022 di Hanzhou, China,” katanya.