X

Kindly register in order to view this article
!

AS dihantui isu penyeludupan senjata api

Amerika Syarikat membenarkan senjata api dijual kepada penduduknya yang berumur 18 tahun ke atas. - Foto AFP
A
A

PULUHAN ribu senjata api diseludup di Amerika Syarikat (AS) pada setiap tahun dengan menggunakan pelbagai cara sehingga ia turut meningkatkan jenayah keganasan di negara berkenaan.

Senjata api itu memasuki pasaran gelap dengan melibatkan para penjual yang berlesen tetapi korup, penjual senjata api yang tidak berlesen, syarikat perkapalan, pemilik senjata api, pencuri dan pembeli bagi pihak individu lain.

Justeru, Jabatan Keadilan AS pada 22 Jun lalu menyatakan punca utama peningkatan kes jenayah dalam tempoh lebih 18 bulan lalu di negara berkenaan adalah disebabkan oleh penggunaan senjata api.

Namun, negara itu juga berdepan masalah penyeludupan senjata api di sempadan AS dengan Mexico dan aktiviti tersebut membantu perdagangan dadah haram sekali gus mempunyai kaitan dengan jenayah terancang.

Kebanyakan senjata api di AS pada asalnya dibeli dari kedai-kedai menjual senjata api berlesen tetapi sejumlah penduduk di negara tersebut boleh membelinya dari rakan, keluarga atau penjual senjata api haram.

Sebelum ini pernah dilaporkan bahawa sebahagian penyeludup senjata api menggunakan perkhidmatan penghantaran barangan FedEx di California manakala di Chicago, para penyeludup akan memandu kereta ke negeri Indiana untuk membeli senjata api.

Pembelian senjata api juga cukup mudah dilakukan di AS sebagai contohnya di negeri Illinois, tidak ada pemeriksaan dilakukan bagi memastikan si pembeli mempunyai kad identiti pemilik senjata api.

Menurut data Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF), sebanyak 3.04 juta senjata api dikeluarkan di AS pada tahun 1983 dan sebanyak 3.8 juta senjata api dikeluarkan untuk tahun 1986 hingga 2008.

Bandar raya New York merupakan antara negeri yang menjadi tumpuan dalam operasi membanteras penyeludupan senjata api Jabatan Keadilan Amerika Syarikat. - Foto AFP
Bandar raya New York merupakan antara negeri yang menjadi tumpuan dalam operasi membanteras penyeludupan senjata api Jabatan Keadilan Amerika Syarikat. - Foto AFP

Jumlah itu kemudian meningkat pada tahun 2016 dengan 11.5 juta senjata api telah dikeluarkan tetapi kemudian menurun kepada 28 peratus pada tahun 2017 dan 25 peratus pada tahun 2018.

Bagaimanapun, import senjata api di negara berkenaan adalah secara puratanya ialah 1.5 juta dari tahun 1986 hingga 2008 namun meningkat kepada 4.2 juta setahun iaitu dari tahun 2008 hingga 2018.

Austria merupakan negara utama yang mengeksport senjata api ke AS dengan membekalkan lebih lima juta senjata api dari tahun 2013 hingga 2018.

Brazil, Croatia, German, Kanada, Itali dan Turki turut mengeksport senjata api buatan masing-masing ke AS.

Dalam pada itu, menurut laporan yang disiarkan pada tahun 2015, selaras senjata api yang berkualiti rendah dijual hanya pada AS$100 (RM416) di sebuah kedai menjual senjata api di Atlanta mungkin dijual sebanyak AS$500 (RM2,083) atau AS$600 (RM2,499) di bandar raya New York, kata beberapa penyelidik.

Senjata api yang digunakan untuk membunuh dua pegawai polis di Brooklyn pada tahun 2014 dikesan diperoleh dari sebuah kedai pajak gadai di utara Atlanta.

Terdapat juga teknik menyeludup senjata api yang dari Florida dengan menggunakan kereta dan dihantar ke Puerto Rico yang juga wilayah AS dengan menggunakan kapal, menurut laporan yang disiarkan pada tahun 2015.

Sebelum ini, AS mempunyai undang-undang kawalan senjata api yang menetapkan penduduknya yang sah dan berusia 18 tahun ke atas sahaja boleh memberi senjata api serta menerusi Akta Kawalan Senjata Api 1968 (GSA).

Namun, akta tersebut gagal untuk membendung aktiviti penyeludupan senjata api yang berlaku di negara berkenaan dan kejadian tembakan rambang yang melibatkan kematian sejumlah penduduk di AS baru-baru ini.

Justeru, Jabatan Keadilan AS pada Selasa lalu mengumumkan ia akan melancarkan operasi membanteras penyeludupan senjata api dalam tempoh 30 hari bagi mengurangkan jenayah keganasan.

Operasi itu akan ditumpukan di bandar raya Chicago, New York, Los Angeles, Teluk San Francisco dan Washington D.C yang dianggap sebagai koridor penyeludupan senjata api di AS.

Jabatan Keadilan AS itu dilaporkan mengambil inisiatif itu sebagai strategi bagi menangani peningkatan jenayah ganas yang kini berlaku di negara berkenaan. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!