Farizal tekad rebut status penjaga gol utama TRW

Farizal berharap terus diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama TRW.
Farizal berharap terus diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama TRW.
A
A
A

PENJAGA gol Kelantan FC, Mohd Farizal Harun berharap terus diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama The Red Warriors (TRW) untuk membuktikan kemampuannya sekali gus merebut tempat selaku penjaga gol nombor satu skuad berkenaan.

Mohd Farizal mengakui persaingan mengisi posisi itu sengit dengan tiga rakan sepasukannya Faridzuean Kamaruddin, Nik Amin Ahmad dan Asfa Abiddin masing-masing turut mengintai slot tersebut.

Namun, beliau yang kembali cergas daripada kecederaan paha dialaminya sebelum ini optimis beliau sudah berada pada tahap terbaik untuk mengemudi gawang Kelantan FC dalam aksi Liga Premier selepas ini.

“Buat masa ini, persaingan bagi merebut tempat masih terbuka kerana belum ada penjaga gol nombor satu atau dua kerana pasukan masih mengamalkan sistem penggiliran.

“Saya harap akan terus diberi peluang terutama aksi bertemu Perak FC II pada minggu depan dan berjanji akan berikan 100 peratus serta membantu pasukan berdasarkan pengalaman yang saya ada,” kata penjaga gol berusia 35 tahun itu dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Rabu

Mohd Farizal yang berasal dari Negeri Sembilan, pernah melalui zaman kegemilangan ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 selain Felda United FC pada tahun berikutnya, pada pentas final Piala FA.

Beliau turut menjadi sebahagian daripada skuad Negeri Sembilan yang memenangi Piala Malaysia 2009 dan 2011 selain Piala FA pada musim 2010.

Sementara itu, Mohd Farizal berkata pasukannya yang dibarisi majoriti pemain muda semakin mendapat rentak selepas bermula agak perlahan di awal musim.

Artikel Berkaitan:

Malah, beliau percaya pasukannya berupaya memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Premier yang menyaksikan Kelantan FC kini menduduki tempat ketujuh dengan mengumpul 14 mata.

“Pemain muda Kelantan mula pamer peningkatan cuma mungkin aspek pengalaman memisahkan sedikit mereka ekoran membuat kesilapan yang berulang-ulang tetapi bagi saya itu adalah proses pembelajaran buat mereka,” katanya.

Kelantan FC akan berkunjung ke Stadium Perak, Ipoh bagi aksi Liga Premier menentang Perak FC II pada 29 Jun ini.