X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja swasta di Sibu dapat suntikan vaksin minggu depan

Gambar hiasan
A
A

SIBU - Kira-kira 14,000 pekerja daripada sektor swasta di Sibu akan menerima vaksin Covid-19 bermula Isnin depan di kampus Kolej Universiti Teknologi Sarawak di sini.

Pusat pemberian vaksin itu akan dikendalikan oleh kolej universiti itu, bersama SEGi Medical School dan sebuah syarikat pemegang pelaburan Pansar Berhad, selepas mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 dan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan program vaksinasi industri.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Dr Annuar Rapaee berkata, satu dry run proses vaksinasi itu diadakan pada Rabu.

“Pusat vaksinasi itu akan ada lima ruang untuk memberikan suntikan vaksin kepada pekerja sektor swasta dan ia membantu mempercepatkan proses vaksinasi penduduk di Sibu,” katanya menerusi penstriman langsung mengenai perkembangan Covid-19 melalui Facebook beliau pada Rabu.

Sementara itu, beliau berkata, program vaksinasi di Dewan Lakis Masjid An Nur bermula pada Rabu dengan 500 orang diberikan suntikan vaksin dan kapasitinya akan ditingkatkan secara berperingkat untuk vaksinasi penduduk di kawasan itu sehingga operasi pusat itu yang dikendalikan oleh Briged Kesembilan Infantri berakhir pada Ahad.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak berkata, empat pasukan vaksinasi bergerak juga akan ke kawasan luar bandar di Bahagian Sibu untuk memberikan suntikan vaksin kepada penduduk rumah panjang.

Beliau berkata, sejumlah 6,620 penduduk di daerah Sibu, Selangau dan Kanowit telah divaksin semalam, melebihi sasaran harian 4,776 orang sehari bagi bulan ini.

“Kami ingin mengekalkan momentum ini kerana sasaran kami ialah memberikan vaksin kepada 5,000 orang sehari pada Julai dan 7,000 pada Ogos,” katanya.

Setakat Selasa, bilangan mereka yang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di bahagian itu ialah 102,876 orang. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!