Presiden Sudan isytihar darurat

Omar al-Bashir
A
A

KHARTOUM - SUDAN. Presiden Sudan, Omar al-Bashir yang berdepan protes terbesar di negara itu sejak beliau memegang tampuk pemerintahan sejak 30 tahun lalu mengisytiharkan perintah darurat selama setahun, semalam.

Beliau turut meminta Parlimen menangguhkan pindaan Perlembagaan yang membolehkan beliau untuk bertanding bagi penggal seterusnya dalam Pilihan Raya Presiden 2020.

Menerusi ucapannya disiarkan stesen TV, Bashir berkata, beliau juga akan membubarkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

"Langkah ekonomi lebih tegas perlu diambil dalam kerajaan baharu tersebut," katanya yang akan memberikan tugas itu kepada pasukan yang berkelayakan.

Bashir juga mengalu-alukan langkah perdamaian dengan pembangkang.

"Saya memberikan jemputan ikhlas kepada pembangkang yang masih berada di luar laluan perdamaian nasional untuk bergerak maju dan terlibat dalam dialog mengenai isu semasa negara kita," ujarnya.

Di bawah langkah itu, Bashir akan menubuhkan pentadbiran sementara yang terdiri daripada pegawai kanan dari setiap kementerian, namun mengekalkan jawatan pertahanan, asing dan kehakiman.

Sementara itu, Pasukan Konsensus Nasional yang merupakan kumpulan pembangkang utama Sudan memberitahu, langkah pengisytiharan darurat dijangka akan mencetuskan lebih banyak protes.

"Langkah itu untuk menghentikan revolusi popular tidak akan menghentikan protes ini sebelum mencapai matlamat kami dan menggulingkan rejim Bashir," katanya kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Protes antikerajaan bermula pada 19 Disember lalu yang berpunca daripada bantahan kenaikan harga dan kekurangan tunai telah berkembang menjadi demonstrasi ganas membantah pemerintahan Bashir.

Bekas pegawai tentera itu memegang kuasa pada 1989 selepas insiden rampasan kuasa.

Bashir memenangi pilihan raya pada 2010 dan 2015 selepas perubahan dalam Perlembagaan susulan perjanjian dama dengan pemberontak selatan yang kemudian menuntut pemisahan untuk membentuk Sudan Selatan - AFP