Cuba sedia kerjasama dengan Malaysia bangunkan vaksin: Duta

Cuba sedia untuk jalin kerjasama dengan rakan sejawatnya dari Malaysia bagi menghasilkan produk dan ubat-ubatan baharu, termasuk vaksin Covid-19.
Cuba sedia untuk jalin kerjasama dengan rakan sejawatnya dari Malaysia bagi menghasilkan produk dan ubat-ubatan baharu, termasuk vaksin Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cuba sedia untuk menjalinkan kerjasama dengan rakan sejawatnya dari Malaysia bagi menghasilkan produk dan ubat-ubatan baharu, termasuk vaksin Covid-19, kata Dutanya ke Malaysia, Florentino Batista-González.

Beliau berkata, dua vaksin Covid-19 buatan tempatan iaitu Soberana 2 dan Abdala yang digunakan untuk penduduknya telah terbukti berkesan.

Negara kepulauan Caribbean itu memanfaatkan kemajuan bioteknologi dan farmaseutikalnya dan memilih untuk tidak mengimport vaksin Covid-19 dari negara asing sebaliknya bergantung kepada vaksin keluaran tempatan.

"Hasilnya sudah jelas, kes telah menurun 50 peratus di kawasan penduduknya sudah divaksin, dan jumlah pesakit kritikal serta kematian juga turun dengan ketara," katanya dalam satu temu bual.

Pada Isnin Cuba menyatakan vaksin Abdala dengan tiga kali suntikan kini dalam percubaan klinikal fasa akhir, terbukti 92.28 peratus berkesan terhadap virus Covid-19, manakala Soberana pula menunjukkan keberkesanan sebanyak 62 peratus.

Selain Soberana 2 dan Abdala, terdapat tiga calon vaksin lain - Soberana 01, Soberana Plus dan Mambisa.

Batista-Gonzalez berkata, dua vaksin yang awal digunakan untuk merawat pesakit hampir sembuh itu digabungkan dengan vaksin lain bagi merangsang tindak balas imun, atau memanjangkang tempoh perlindungan tanpa memerlukan pusingan baharu vaksinasi.

Menurutnya, Mambisa pula adalah vaksin nasal dan mendapat kelulusan badan pemantau di Cuba untuk menjalani ujian klinikal.

Artikel Berkaitan:

"Hasil awal Mambisa menunjukkan kesan sampingan yang minimum," katanya.

Setakat 17 Jun, lebih lima juta rakyat Cuba telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan menjelang Ogos, dijangkakan lebih lapan juta akan divaksin sepenuhnya.

Jumlah penduduk Cuba dianggarkan sekitar 11 juta.

Meskipun ketika ini sedang menghadapi gelombang ketiga dengan purata kes baharu melebihi 1,000 kes setiap hari, tetapi kematian akibat COVID-19 di negara ini masih antara yang terendah.

Menurut data worldometers.info setakat 22 Jun, Cuba mencatatkan 169,365 kes COVID-19 dengan 1,170 kematian dan 159,775 lagi pesakit telah sembuh. - Bernama