X

Kindly register in order to view this article
!

PH kemuka petisyen sokong Dewan Rakyat bersidang secepat mungkin

Dari kiri, Anwar, Mohamad dan Guan Eng
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) akan mengusahakan satu petisyen dalam kalangan ahli-ahli Parlimen untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan bahawa majoriti ahli Parlimen menyokong Parlimen bersidang secepat mungkin.

Perkara itu dimaklumkan Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Mereka berkata, Majlis Presiden PH juga bersedia menyertai jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid jika ia bersidang sebelum 1 Ogos.

“Berkaitan cadangan Perdana Menteri untuk menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid, Majlis Presiden berpandangan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut tidak boleh menjadi alasan atau dalih bagi melewatkan sidang Parlimen,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut mengulangi pendirian gabungan itu bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos supaya Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbangkan ahli-ahli Parlimen.

“Pada masa sama, sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada ahli-ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik Covid-19 dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sangat tertekan pada waktu ini,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!