Taekwondo Malaysia lantik jurulatih dari Korea Selatan

Presiden Persatuan Taekwondo Malaysia (WTF) Azizul Annuar Adenan (dua, kiri) beramah mesra bersama para peserta pada Majlis Perasmian Kejohanan Taekwando Nasional 2019 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Presiden Persatuan Taekwondo Malaysia (WTF) Azizul Annuar Adenan (dua, kiri) beramah mesra bersama para peserta pada Majlis Perasmian Kejohanan Taekwando Nasional 2019 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taekwondo Malaysia (TM) melantik jurulatih muda dari Korea Selatan, Kim Hyeong Seob untuk mempersiapkan atlet kyorugi (tempur) negara ke Sukan SEA 2019 di Manila, November ini.

Presiden TM, Azizul Anwar Adenan berkata, jurulatih berusia 26 tahun itu juga diberi tanggungjawab untuk membantu atlet negara meraih kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, walaupun peluang itu dilihat agak tipis.

“Hyeong Seob akan diberi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula Mac ini untuk menyesuaikan diri di Malaysia, sebelum keputusan mengenai kontraknya dibincangkan, dengan tempoh minimum adalah setahun.

“Antara kriteria pemilihan adalah berdasarkan kemahirannya dan kesediaan untuk menerima gaji (USD2,500 atau RM10,188 sebulan) yang kami tawarkan.

“Beliau merupakan rakan sepelatih kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016, Lee Dae-hoon, jadi kami harap beliau dapat meningkatkan prestasi atlet Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo Kebangsaan 2019 di Wisma OCM, di sini hari ini.

Azizul Anwar berkata, Hyeong Seob merupakan antara calon dicadangkan Persatuan Taekwondo Korea Selatan ketika delegasi TM yang diketuai beliau sendiri mengunjungi negara itu beberapa hari lepas.

Hyeong Seob bakal menggantikan tempat rakan senegaranya, Kim Hong Goun yang kembali ke negara asalnya, manakala jurulatih poomsae, Jin Jun Beom akan terus kekal mengendalikan bahagian itu.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet taekwondo negara layak ke Sukan Olimpik adalah pada edisi 2008 di Beijing, menerusi Elaine Teo dan Che Chew Chan, masing-masing beraksi dalam kategori wanita bawah 57kg dan lebih 67kg.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, lebih 400 peserta menyertai Kejohanan Taekwondo Kebangsaan kali ke-10 itu yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, bagi disiplin poomsae (seni) dan kyorugi, yang juga merupakan pentas pemilihan untuk Sukan SEA 2019. - Bernama