X

Kindly register in order to view this article
!

21 Persatuan Alumni UiTM sokong pelantikan Pengerusi LPU, TNC HEP

Ibrahim dan Dr Mohd Sazili
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 21 Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyokong penuh pelantikan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM

Alumni UiTM dalam satu kenyatan bersama berkata, mereka sentiasa menyokong setiap pelantikan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap individu yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman terutama sekali melibatkan individu dari kalangan orang ‘dalam’ (DNA UiTM).

Menurutnya, isu dan persoalan sama ada individu yang dilantik itu ahli dari mana-mana parti politik tidak lagi relevan buat mereka pada masa kini.

"Kami amat berbangga dengan pemimpin-pemimpin politik dari UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan),Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain yang terdiri dari Alumni UiTM.

"Sebagai Alumni yang menjadi benteng memperkasa dan melindungi institusi keramat ini, besarlah harapan kami bahawa setiap individu yang dilantik perlu mempunyai visi dan misi yang jelas dalam mendepani cabaran pendidikan tinggi serta sosio ekonomi negara.

"Tambahan UiTM sentiasa meletakkan agenda memperkasa bangsa Melayu dan bumiputera, maka individu terpilih itu juga harus mempunyai jiwa nasionalis yang tulen dan sayangkan bangsanya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Setia Wangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sekurang-kurangnya 13 individu daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) telah dilantik memegang jawatan di lembaga pengarah atau lembaga gabenor universiti awam berdasarkan pemeriksaan di laman web universiti.

Antara yang disebut adalah Mohd Sazili yang didakwa Nik Nazmi sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang sedangkan menurut Mohd Sazili beliau memegang jawatan tersebut pada tahun 2008.

Kenyataan 21 Persatuan Alumni UiTM menyokong penuh pelantikan Ibrahim sebagai Pengerusi LPU dan Mohd Sazili sebagai Timbalan Naib Canselor HEP UiTM.
Kenyataan 21 Persatuan Alumni UiTM menyokong penuh pelantikan Ibrahim sebagai Pengerusi LPU dan Mohd Sazili sebagai Timbalan Naib Canselor HEP UiTM.

Jelas kenyataan itu, Alumni sentiasa meraikan perbezaan pendapat dan kepelbagaian taburan fahaman politik di antara ahlinya, namun pelantikan dua nama besar itu sangat sepadan dengan kelayakan, pengalaman dan nilai-nilai yang ada pada diri mereka sejak sekian lama.

"Tan Sri Ibrahim Shah sebelum ini pernah bertugas dengan UiTM selama 25 tahun dan pada masa yang sama beliau juga pernah menjadi Naib Canselor UiTM yang paling lama, iaitu dari tahun 2001 hingga 2009.

"Mantan Naib Canselor ini juga sudah semestinya mempunyai pengalaman yang luas sekali gus melayakkan beliau menerajui Lembaga Pengarah UiTM sebagai Pengerusi," katanya.

Ujar kenyataan tersebut, bagi Sazili pula beliau merupakan penerima Asia Education Leadership Award oleh CMO Asia & World Education Congress pada tahun 2018.

"Selain itu beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu UiTM (IMPAK), Ahli Lembaga Penasihat Arkib Negara Malaysia, Panel Penasihat Polisi Institut Wasatiyah Malaysia Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka.

"Profesor Dr Sazili juga adalah pemegang ijazah Bachelor in Mass Communication (Hons) dari Universiti Teknologi Mara, MSc. Managing Information Technology dari University Of Salford, United Kingdom dan PhD/Degree Of Philosophy Doctorate In Information System/E-Commerce dari Universiti Malaya, kini aktif sebagai Pengerusi Ikatan Teras Minda Malaysia (ITEM).

Tegas kenyataan itu, mereka yakin bahawa kedua-dua individu tersebut mempunyai kelayakan penuh sekali gus akan dapat membawa UiTM ke tahap yang lebih cemerlang, selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi di Malaysia.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!