X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan, TH sentiasa bersedia bantu jemaah haji

Dr Zulkifli ditemui ketika mengadakan lawatan kerja di Sinar Harian.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa bersiap sedia membantu jemaah untuk menunaikan ibadah haji dari masa ke semasa namun ia bergantung di atas arahan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, satu sidang video bersama bakal haji telah diadakan beberapa hari lalu berhubung perkembangan semasa mengenai ibadah itu, baru-baru ini.

"Saya telah mengadakan sidang video dengan bakal haji. Alhamdulillah sambutan yang (diterima) luar biasa. Saya telah jawab (persoalan) satu persatu, dalam sidang video tersenut termasuk di YouTube.

"Cuma saya tekankan bahawa pihak kerajaan sentiasa bersiap sedia untuk membantu rakyat menunaikan ibadat haji dari masa ke semasa," katanya kepada Sinar Harian.

Pada 13 Jun, TH menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1442H/2021M selaras dengan keputusan muktamad kerajaan Arab Saudi bahawa tiada jemaah negara luar termasuk Malaysia dibenarkan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji atas faktor keselamatan dan kesihatan.

TH dalam kenyataan tersebut berkata, keputusan penangguhan itu dibuat setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkenaan membuat pengumuman rasmi yang diperoleh daripada kerajaan Arab Saudi pada 12 Jun.

Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H/2021M dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang berada dalam negara tersebut berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh dunia.

Bagi rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi, mereka boleh memohon melalui Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini, tertakluk kepada kriteria pemilihan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Dalam pada itu, Zulkefli berkata, kerajaan dan TH juga akan membuat persediaan awal bagi menghadapi segala kemungkinan berlaku pada tahun hadapan termasuk isu-isu berkaitan kos yang tentunya akan berubah serta subsidi kepada jemaah haji.

"InsyaALLAH, akan bersedia, beri yang terbaik untuk jemaah haji. Berkenaan subsidi haji, sudah tentu akan dikaji," kata beliau.

ARTIKEL BERKAITAN Malaysia tidak hantar jemaah haji, akur keputusan Arab Saudi


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!