Bekas mahasiswa buat laporan polis berhubung salah laku hakim

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Bekas mahasiswa yang disabitkan kesalahan dalam satu perhimpunan haram di hadapan Masjid Negara pada 2001 membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku hakim-hakim dan institusi berkaitan dalam satu afidavit baru-baru ini.

Laporan polis dibuat oleh dua daripada lima bekas mahasiswa berkenaan iaitu Khairul Amal Mahmud, 38, dan Rafzan Ramli, 42, di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 11 pagi tadi ditemani peguam masing-masing.

Menurut Khairul Amal, bekas pelajar Universiti Malaya (UM), laporan polis itu dibuat bagi menggesa pihak polis supaya menyiasat dakwaan afidavit yang dikemukakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer terhadap hakim-hakim yang tidak dinamakan dan institusi yang berkenaan dalam satu afidavit baru-baru ini.

"Kami harap pihak polis menyiasat dakwaan itu sekiranya benar terdapat salah laku dalam keputusan kes termasuk kes melibatkan kami seperti yang didakwa di dalam afidavit berkenaan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis kira-kira 11.30 pagi tadi.

Beliau berkata, mereka juga akan memfailkan semakan kes di Mahkamah Rayuan bagi mencabar keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman denda RM3,900 setiap seorang atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda ke atas kelima-lima mereka.

Pada 14 Februari, dilaporkan bahawa Hamid Sultan mengemukakan afidavit setebal 63 halaman yang mendedahkan butiran maklumat berhubung beberapa insiden campur tangan undang-undang dalam kehakiman Malaysia, termasuk dakwaan campur tangan undang-undang dalam keputusan rayuan kes hasutan mendiang bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, yang juga pengerusi DAP, Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Katanya afidavit itu turut melibatkan kes tujuh pelajar universiti yang ditahan ketika berada dalam satu perhimpunan haram di hadapan Masjid Negara pada 2001 iaitu Khairul Amal, Rafzan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nik Noorhafizi Nik Ibrahim, 39, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zuklefle Idris, 39, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ahmad Kamal Abdul Hamid, 38, UKM, Wan Mohd Sanusi Wan Mohd Noor, 43, Universiti Malaya (UM) dan Helman Sanuddin, 42, UiTM.

Pada 8 Jun 2001, sebaik sahaja selesai solat Jumaat, beberapa ratus pelajar dalam gabungan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) berhimpun secara aman di luar Masjid Negara sehinggalah polis bertindak menyuraikannya dan menahan tujuh orang mahasiswa terbabit.

Artikel Berkaitan:

Perbicaraan awal mendapati tujuh pelajar yang digelar “ISA 7″ itu tidak bersalah dan dibebaskan.

Namun Pejabat Peguam Negara tidak berpuas hati dengan keputusan itu dan ketujuh-tujuh aktivis itu dibicarakan sekali lagi.

Pada 18 Jun 2009, lima bekas mahasiswa itu masing-masing dijatuhi hukuman denda RM3,900 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur setelah didapati bersalah berada dalam satu perhimpuan haram di hadapan Masjid Negara, di sini, 18 tahun lepas.

Majistret Azniza Mohd Ali menjatuhi hukuman tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah.

Lima bekas pelajar tersebut ialah Nik Norhafizi Nik Ibrahim, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zulkefle Idris, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ahmad Kamal Abdul Hamid, UKM, Rafzan Ramli, Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Khairul Amal Mahmud, dari Universiti Malaya.

Bagaimanapun, Azniza melepas dan membebaskan seorang lagi bekas pelajar yang dituduh bersama mereka iaitu Helman Sanuddin, dari UiTM selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967, kerana berada dalam perhimpunan anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di perkarangan Masjid Negara, Jalan Perdana di sini, antara pukul 2 petang dan 2.15 petang, 8 Jun 2001.

Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kabinet bersetuju menubuhkan satu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan salah laku kehakiman. - Bernama