Enakmen Biodiversiti akan ditubuh, digubal

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan negeri telah merancang untuk menubuh dan menggubal Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang yang akan direalisasikan secepat mungkin.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan perkara tersebut ketika dalam ucapan pembentangan Bajet 2020 pada 2019.

Menurutnya, selain telah mewujudkan jawatankuasa enakmen tersebut, kerajaan negeri juga telah melantik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk mengkaji menyediakan pelan pengurusan alam sekitar di Pahang.

"Kita mengambil kira untuk menjaga flora dan fauna di Pahang dan semua pihak yang ingin membuat kajian dan sebagainya ia termaktub dalam enakmen itu iaitu kerajaan negeri memiliki hak intelektual.

"Cuma kita tidak boleh bersidang kerana pandemik Covid-19, darurat dan insya-ALLAH, persidangan seterusnya akan dibawa mengenai perkara ini pada kadar segera," katanya pada Sinar Harian, Rabu.

Beliau mengulas demikian susulan kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri, Fuziah Salleh pada Rabu supaya kerajaan negeri perlu menggubal Enakmen Undang-undang Negeri sebagai bukti komitmen terhadap kelestarian alam terutama dalam memulihara status Hutan Simpan Kekal (HSK).

"Kita ingin memaklumkan kepadanya (Fuziah) dan kita ucap terima kasih di atas cadangan tersebut, tetapi perkara ini telah dirancang lama.

"Ini termasuk penjagaan Tasik Chini, penjagaan flora dan fauna yang ada di seluruh Pahang," jelasnya bahawa Majlis Biodiversiti ditubuhkan untuk mengawal biodiversiti di seluruh negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Pahang menjadi negeri pertama di Semenanjung mengangkat perkara tersebut selain menegaskan kerajaan negeri sangat serius terutama aspek penjagaan dan pemulihan alam sekitar.

Pengurusan alam sekitar itu juga katanya, bukan sahaja di hutan-hutan bahkan meliputi kawasan bandar.

ARTIKEL BERKAITAN: Gubal Enakmen Undang-undang negeri Pahang