19 tahi judi termasuk tujuh warga China diberkas

Antara individu terlibat kes judi dalam talian yang ditahan dalam Ops Dadu sekitar Alor Setar pada 9 Jun lepas.
Antara individu terlibat kes judi dalam talian yang ditahan dalam Ops Dadu sekitar Alor Setar pada 9 Jun lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 19 individu terlibat kes judi dalam talian dalam tiga serbuan berasingan melalui Ops Dadu di sekitar Alor Setar di sini pada 9 Jun lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua mereka termasuklah tujuh warga China berusia antara 20 hingga 60-an ditahan sekitar jam 3.40 petang.

Katanya, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

"Pada Rabu, kesemua individu terbabit telah didakwa mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mempromosikan premis rumah judi terbuka, yang boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun

"Daripada jumlah itu, seramai tujuh individu turut didakwa di bawah Seksyen 4(1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana mengurus sebuah premis rumah judi terbuka, jika sabit kesalahan juga boleh dikenakan hukuman sama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, tiga lelaki turut didakwa di bawah peraturan 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan semasa ditahan.

Menurutnya, dua lelaki warga China yang ditahan turut didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigrisen 1959/63 kerana kesalahan tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

"Malah, enam lagi warga China termasuk seorang wanita juga didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigrisen 1959/63 kerana kesalahan tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat atau dibatalkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, pihaknya akan bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik di semua premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian.

Tambah beliau, polis Kedah amat serius dalam menangani segala bentuk perjudian khasnya di negeri ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perjudian haram bolehlah menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis.