Notis tutup operasi jika ingkar kesalahan sama

Mior Faridalathrash ketika sidang media selepas mengetuai pasukan pemantau pematuhan SOP secara bersepadu di daerah Taiping, pada Rabu.
Mior Faridalathrash ketika sidang media selepas mengetuai pasukan pemantau pematuhan SOP secara bersepadu di daerah Taiping, pada Rabu.
A
A
A

TAIPING - Notis tutup operasi serta-merta akan dikeluarkan terhadap mana-mana kilang di negeri ini yang dikesan mengulangi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuatkuasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pasukan pemantau bersepadu di setiap daerah akan berperanan melakukan pemantauan bersasar bagi memastikan kilang-kilang yang telah dikenakan tindakan itu beroperasi sepenuhnya mengikut SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pemeriksaan pasukan pemantau di daerah-daerah ini dilakukan setiap hari, sekiranya kilang itu telah dikenakan kompaun, jadi pasukan ini akan turun memantau untuk pastikan kilang beroperasi dengan mematuhi peraturan ditetapkan.

"Jika tidak, kita akan keluarkan lagi kompaun dan notis agar kilang terbabit tidak lagi beroperasi. Jadi saya beri amaran kepada semua agar patuh pada SOP supaya kita tidak ambil tindakan, nanti mereka kata kita kejam tutup kilang, but we have too," katanya kepada pemberita selepas mengetuai pasukan pemantau pematuhan SOP secara bersepadu di daerah Taiping di sini pada Rabu.

Menurutnya, pemantauan sama turut dilakukan pasukan pemantau bersepadu berpusat yang ditubuhkan di peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di daerah secara mingguan.

"Untuk pasukan yang saya tubuhkan ini, kita sasarkan kilang-kilang yang mempunyai aduan tinggi daripada orang ramai, maklumat itu ada yang mengatakan kilang-kilang ini ada melakukan kesalahan-kesalahan tertentu.

"Jadi kita akan turun untuk pastikan kebenaran maklumat disampaikan sebelum mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, sejak 1 Jun sehingga Selasa, sebanyak 4,685 kilang di kawasan perkilangan dan perindustrian seluruh Perak telah diperiksa.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 28 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan pelanggaran SOP yang ditetapkan.

"Sebanyak 10 kilang masing-masing tiga di Tapah, Ipoh (2), Taiping (2) dan masing-masing satu di Hilir Perak, Batu Gajah dan Sungai Siput telah dikompaun serta arahan tutup operasi selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, diharap operasi secara berterusan bersama agensi-agensi penguatkuasa ini menjadikan majikan serta pekerja lebih berhati-hati serta mematuhi garis panduan dikeluarkan demi kesihatan dan keselamatan orang ramai.

"Kita bertanggungjawab dalam memastikan segala garis panduan yang dikeluarkan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya.