Empat peniaga pasar awam dikompaun RM6,000 tak imbas MySejahtera

Ahmad Adnan (kanan) memeriksa MySejahtera peniaga memastikan mereka melakukan imbasan kod QR sebelum masuk ke Pasar Awam Teluk Intan ketika operasi pada Rabu.
Ahmad Adnan (kanan) memeriksa MySejahtera peniaga memastikan mereka melakukan imbasan kod QR sebelum masuk ke Pasar Awam Teluk Intan ketika operasi pada Rabu.
A
A
A

TELUK INTAN - Sikap sambil lewa beberapa peniaga di Pasar Awam Teluk Intan, di sini untuk mengimbas kod QR MySejahtera mengundang padah apabila mereka dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Tinjauan Sinar Harian bersama sepasukan penguat kuasa diketuai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dalam Op Bersepadu Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di pasar awam berkenaan pada Rabu mendapati, ramai dalam kalangan peniaga yang masuk tanpa mengimbas kod QR di telefon pintar masing-masing.

Kebanyakan mereka memberikan alasan tidak sempat untuk mengimbas kerana membawa banyak barang perniagaan sejak awal pagi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, sebanyak empat kompaun dikeluarkan ke atas peniaga di pasar awam itu kerana gagal mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera dengan nilai keseluruhan RM6,000.

Menurutnya, selain Pasar Awam Teluk Intan, operasi turut dijalankan di tujuh lagi lokasi lain melibatkan kilang sarung tangan, kilang memproses kelapa sawit dan tapak pembinaan.

"Operasi ini bertujuan memastikan sektor perkilangan dan pembuatan serta tapak binaan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita juga memberi nasihat dan cadangan kepada sektor pengilangan dan sektor binaan dalam penambahbaikan pengurusan pencegahan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja," katanya kepada pemberita selepas turut serta dalam operasi tersebut pada Rabu.

Menurutnya, operasi tersebut turut membabitkan Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam operasi sama, sebuah tapak pembinaan, di sini turut diarah tutup dengan tiga notis turut dikeluarkan oleh pihak CIDB disebabkan kawasan tempat penginapan rumah kongsi yang kotor dan tidak dibersihkan.

Jelasnya, seorang warga negara asing turut ditahan kerana gagal mengimbas kod QR MySejahtera di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan di sebuah kilang proses sawit di sini.

Ahmad Adnan berkata, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan melibatkan pelbagai agensi sebanyak 10 kompaun atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Perak, Senior Asisten Komisioner Mohd Alwi bin Zainal Abidin yang turut sama dalam operasi tersebut berkata, pihaknya kesal masih ada peniaga dan pengunjung yang gagal mematuhi SOP terutama tidak mengimbas kod QR.

"Masih ada yang tidak mematuhi SOP ditetapkan dengan tidak mengimbas kod QR apabila memasuki premis seperti pasar awam ini.

"Kita nasihatkan kepada masyarakat di Perak ini supaya mematuhi SOP dan kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas bagi mereka yang melanggar SOP ditetapkan," tegasnya.a