Penubuhan negara Palestin penyelesaian konflik Israel-Palestin

Penyelesaian tunggal konflik Israel-Palestin adalah menerusi pembentukan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur dijadikan ibu negara.
Penyelesaian tunggal konflik Israel-Palestin adalah menerusi pembentukan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur dijadikan ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyelesaian tunggal konflik Israel-Palestin adalah menerusi pembentukan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur dijadikan ibu negara, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada 'Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Peringkat Menteri Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) mengenai Palestin' secara dalam talian pada Selasa.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataannya pada Rabu berkata, Kamarudin turut mengulangi kutukan keras Malaysia terhadap pencabulan dan serangan yang dilancarkan rejim Israel ke atas penduduk Palestin dan mengukuhkan lagi solidariti Malaysia dengan rakyat Palestin.

Timbalan Menteri Luar itu turut menggariskan tiga tindakan yang perlu diambil negara anggota NAM bagi menyokong Palestin, termasuk menyalurkan bantuan bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin.

“Dengan secara tegas menggunakan semua saluran perundangan, ekonomi dan politik bagi menuntut Israel mematuhi semua tanggungjawabnya seperti yang diperuntukkan undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ketetapan Majlis Keselamatan termasuk Ketetapan 2334.

“Semua yang mempunyai pengaruh dan kemampuan untuk menamatkan konflik ini, terutama Majlis Keselamatan PBB dan Kuatet Timur Tengah juga didesak melaksanakan tanggungjawab mereka memastikan pihak yang terbabit kembali berunding secara aman dan mencari penyelesaian berkekalan," katanya.

Mesyuarat luar biasa itu dipengerusikan Menteri Luar Azerbaijan, Jeyhun Bayramov disertai 12 anggota tetap Jawatankuasa Peringkat Menteri NAM mengenai Palestin, termasuk Malaysia dan Palestin.

Pada mesyuarat itu, Menteri Hal Ehwal Luar Palestin, Riad Malki, memaklumkan kepada jawatankuasa itu bahawa serangan dan kekerasan Isrel terhadap penduduk Palestin serta tindakan mereka merampas tanah, terus memuncak.

Artikel Berkaitan:

Beliau meminta negara anggota NAM terus menyokong usaha perundangan Palestin bagi memastikan Israel bertanggungjawab terhadap jenayah yang dilakukannya.

Riad Malki turut menggesa negara anggota NAM menamatkan kerjasama ketenteraan dan perdagangan dengan Israel bagi memaksa rejim itu mengaku secara terbuka dan tanpa syarat menamatkan pendudukan dan menghormati hak rakyat Palestin.

Mesyuarat berkenaan kemudiannya meluluskan Deklarasi Politik menggesa sokongan politik, ekonomi dan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin serta mendukung penuh hak dan kedaulatan Negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara berasaskan sempadan sebelum 1967.

Ia juga menggesa langkah segera perlu diambil bagi memastikan perlindungan orang awam Palestin selaras dengan undang-undang antarabangsa selain berikrar memastikan pelaksanaan ketetapan PBB yang berkaitan ke arah penyelesaian adil, berkekalan, menyeluruh dan secara aman berhubung persoalan Palestin. - Bernama