X

Kindly register in order to view this article
!

Balu imam meninggal dunia ketika solat terima faedah Perkeso

Muhammad Sanusi (tengah) menziarahi balu imam Masjid Kubang Jawi, Hafishah Marzuki (kanan) di kediamannya di Kampung Lintang, Kubang Jawi, di sini pada Rabu.
A
A

ALOR SETAR - Balu imam Masjid Kubang Jawi yang meninggal dunia ketika solat Asar pada Hari Raya Aidilfitri lepas menerima pencen seumur hidup daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketika kejadian, Allahyarham Shabudin Othman, 62, yang berada di saf makmum dilihat lemah sehingga tidak lagi mampu bangkit daripada sujud untuk melakukan tahiyat akhir pada 13 Mei lepas.

Isterinya, Hafishah Marzuki, 57, berkata, arwah suaminya yang merupakan imam 1 masjid terbabit meninggal dunia ketika menunaikan solat Asar bersama jemaah lain pada Syawal pertama.

Hafishah berkata, arwah suaminya merupakan imam di masjid berkenaan sejak tiga dekad lalu tidak menghidap sebarang penyakit serius sebelum ini.

"Pada hari kejadian, suami tidak mengimamkan solat Asar sebaliknya hanya menjadi makmum. Dia dilihat agak lemah dan tidak mampu bangkit daripada sujud sebelum meninggal dunia.

"Saya tidak sangka arwah suami mencarum Perkeso, terkejut juga apabila dimaklumkan layak terima faedah Perkeso," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Faedah Perkeso di Kampung Lintang, Kubang Jawi, di sini pada Rabu.

Turut hadir, Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Datuk Najmi Ahmad dan Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Syeikh Mohd Ashraf Mohsin.

Menurutnya, dia sekeluarga berterima kasih kepada Perkeso atas penyerahan faedah Perkeso. Wang tersebut akan digunakan untuk menunaikan hajat arwah suaminya yang tidak kesampaian.

Sementara itu, Pengerusi Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman berkata, balu imam berkenaan akan menerima bantuan tunai Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

"Selain itu, balu juga akan menerima bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) iaitu RM27.90 sehari ataupun lebih kurang RM837 sebulan yang akan dibayar seumur hidup,"katanya.

Kematian Shabudin disahkan sebagai bencana kerja mengikut Seksyen 3 Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) dengan mengambil kira bebanan tugas imam sepanjang Ramadan dan proses memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 yang menyebabkan punca keletihan berlebihan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Allahyarham Shabudin merupakan imam pertama di Kedah yang balunya menerima faedah Perkeso selepas dia meninggal dunia.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa menyokong Kerajaan Persekutuan melalui Perkeso untuk memberikan perlindungan kepada golongan bekerja sendiri melalui pelbagai inisiatif khas yang diperkenalkan kepada Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBS).

"Setakat ini, seramai 2,063 pegawai masjid dari keseluruhan 577 masjid di Kedah mencarum dengan Perkeso, dengan jumlah caruman ditaja kerajaan adalah sebanyak RM480,266.40," katanya.

Tambah beliau, antara golongan bekerja sendiri diberikan tumpuan termasuklah imam, bilal, guru takmir, noja dan siak daripada sebarang bencana pekerjaan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!