Sindiket pelacuran guna nama warga tempatan 'check in' hotel

Antara individu dipercayai pelacur yang ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia.
Antara individu dipercayai pelacur yang ditahan dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berselindung di sebalik bilik hotel yang didaftarkan dengan menggunakan nama warga tempatan menjadi antara taktik yang digunakan sindiket pelacuran bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik itu berjaya dikesan Jabatan Imigresen Malaysia apabila seramai 15 individu warga asing dipercayai pelacur serta tujuh pekerja hotel warga tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Taman Maluri, Cheras di sini pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 7 malam dengan kekuatan 15 pegawai dari Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya

"Maklumat daripada risikan yang dijalankan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti dari satu hotel ke hotel yang lain setiap dua minggu bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

"Aktiviti pelacuran ini dijalankan di tingkat tiga hotel tersebut dan bilik-bilik didaftar menggunakan nama warganegara tempatan yang disyaki bertindak sebagai penjaga kepada wanita warga asing tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, hasil pemeriksaan berjaya menahan 15 individu dipercayai pelacur membabitkan 11 warga Thailand, tiga warga Vietnam dan seorang wanita warga Indonesia.

Katanya, kesemua suspek berumur di antara 19 hingga 34 tahun dan hanya pelanggan yang dikenali sahaja dibenarkan masuk bagi mengelakkan aktiviti tersebut dihidu oleh pihak penguatkuasa.

"Kegiatan yang dijalankan itu juga diketahui pihak pengurusan hotel terbabit manakala perkhidmatan seks ditawarkan dengan harga dari RM230 hingga RM500 bagi tempoh masa selama 45 minit.

Artikel Berkaitan:

"Separuh daripada bayaran akan diambil oleh majikan dan selebihnya merupakan 'tips' untuk wanita warga asing bagi setiap pelanggan. Sindiket ini juga menggunakan media sosial menerusi aplikasi Wechat, Telegram atau Link untuk memudahkan pelanggan memilih wanita yang ingin dilanggan.

"Bayaran perlu dilakukan kepada penjaga atau penyelia terlebih dahulu di lobi hotel sebelum diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tujuh lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai penyelia dan pengurus operasi di hotel tersebut turut ditahan manakala tiga pelanggan serta pekerja hotel yang berada di lokasi diberikan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Barang-barang seperti kondom, minyak pelincir, kad akses bilik, CCTV hotel, telefon bimbit dan beberapa barang lain turut dirampas sebagai barang kes untuk tujuan membantu mengendalikan siasatan," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

"Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan.

"Siasatan dijalankan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.