Ditahan selepas larikan lori sejauh 10km

Suspek berjaya ditahan 10km dari tempat lori tersebut dicuri.
Suspek berjaya ditahan 10km dari tempat lori tersebut dicuri.
A
A
A

BAYAN BARU- Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai membawa lari sebuah lori yang diletakkan di kawasan parkir sebuah pasar raya di sini pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada pemilik lori tersebut kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, pemilik lori tersebut ternampak lorinya dilarikan suspek namun tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

"Selepas menerima maklumat, empat buah MPV polis telah mengejar lori tersebut sejauh 10 kilometer dari tempat kejadian. Suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Sungai Tiram, Bayan Lepas selepas lori tersebut terbabas.

"Berlaku pergelutan ketika polis cuba menahan suspek namun dia akhirnya berjaya ditahan. Suspek berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian muka dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Katanya, seorang anggota yang terlibat turut mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan namun tidak serius.

Artikel Berkaitan: