1,897 kertas siasatan kes media sosial dibuka

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia telah membuka 1,897 kertas siasatan membabitkan kes-kes media sosial antara Januari 2019 hingga 22 Jun 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, daripada jumlah tersebut, 185 kes menyentuh Institusi Diraja, 112 kes melibatkan kaum, 168 kes penghinaan agama, 248 kes berkaitan kerajaan dan sebanyak 1,184 kes melibatkan individu atau agensi.

"Sebanyak 844 (44.5 peratus) kes berjaya diselesaikan, manakala baki 1,053 kes (55.5 peratus) lagi masih dalam siasatan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Abd Jalil berkata, sebanyak 254 kes melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 disiasat sepanjang tempoh 18 Mac 2020 sehingga 20 Jun 2021.

"Daripada jumlah tersebut sebanyak 109 (43 peratus) kes telah berjaya diselesaikan manakala 145 (57 peratus) kes masih dalam siasatan.

Beliau berkata, JSJ melalui unit siasatan Jenayah terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5) Bukit Aman bertanggungjawab memantau, sekali gus dengan bantuan kontinjen

seluruh negara menjalankan siasatan kes-kes media sosial.

"Ia melibatkan penyebaran berita palsu atau hasutan yang boleh membangkitkan perasaan tidak setia, menyebabkan kegentaran awam atau menggugat keamanan negara yang berbaur penghinaan terhadap Institusi Diraja, kerajaan, pentadbiran keadilan, sensitiviti agama serta kaum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abd Jalil berkata, siasatan dijalankan selari dengan peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Kes turut disiasat sekiranya mempunyai elemen seperti berikut kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 500 / 504 / 505 / 298a / 298 / 203a Kanun Keseksaan), Akta Hasutan 1948, kes-kes yang melibatkan 3R (ruler/ religion/races).

"Kes-kes melibatkan kerajaan, pentadbiran keadilan, individu berpengaruh atau kes berprofil tinggi dan kesalahan di bawah undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342)," katanya.

Abd Jalil menyeru dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyalurkan berita-berita atau informasi yang tidak dipastikan kesahihannya.

"Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau apa-apa berita yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial tersenarai kepada kesalahan yang boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa," katanya.