SAS juara Putrajaya Wind Orchestra 2019

Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim bergambar bersama pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya yang menjuarai pertandingan Putrajaya Wind Orchestra di Perbadanan Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim bergambar bersama pelajar Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya yang menjuarai pertandingan Putrajaya Wind Orchestra di Perbadanan Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Persembahan memukau kumpulan orkestra Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya melayakkan mereka dinobatkan sebagai juara Putrajaya Wind Orchestra 2019 yang berlangsung di Auditorium Cempaka Sari, di sini hari ini.

Dalam pertandingan yang dihadiri isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali itu, SAS yang mempersembahkan dua buah lagu, Symphonic Dance No 3 Fiesta dan Jong Jong Inai, menewaskan empat lagi sekolah untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Kumpulan orkestra Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh yang mempersembahkan lagu Diogenes dan Seringgit Dua Kupang, pula mendapat tempat kedua, sekali gus memenangi wang tunai RM3,000 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur, pula mendapat tempat ketiga melalui lagu To Challenge The Sky and Heavens Above dan Overtue Kuala Lumpur, untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala iringan dan sijil penyertaan.

Dua lagi sekolah yang menyertai pertandingan itu ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah Menengah (Perempuan) St. George, Pulau Pinang.

Dr Siti Hasmah dalam ucapan ringkasnya pada pertandingan yang julung kali diadakan itu berkata beliau benar-benar kagum dengan persembahan bertenaga yang disampaikan oleh setiap kumpulan orkestra terbabit.

"Saya tidak menjangka untuk melihat persembahan hebat seperti ini. Persembahan mereka benar-benar menyentuh hati saya," katanya.

Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu adalah hasil daripada cetusan idea Dr Siti Hasmah yang mahu acara berbentuk muzik diadakan di Putrajaya.

Artikel Berkaitan:

"Melalui pertandingan ini, PPj berharap dapat melahirkan pelapis kepada karyawan tanah air yang berbakat serta kreatif dalam mencetuskan karya-karya seni yang bermutu," katanya.

Katanya PPj turut berhasrat untuk menjadikan pertandingan itu sebagai acara tahunan dan akan diperluaskan ke peringkat antarabangsa. - Bernama