152 ditahan terbabit pertaruhan Euro 2020

PDRM
PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 152 individu ditahan dalam 107 serbuan Ops Soga VII dengan jumlah rampasan wang hasil pertaruhan sebanyak RM115,132 sejak 10 Jun hingga Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan peranti elektronik yang digunakan untuk aktiviti catit taruh haram.

Menurutnya, antara peralatan yang dirampas adalah 24 set komputer, 11 unit komputer riba, satu unit tablet, 166 unit telefon bimbit, lima unit mesin kira-kira, 12 unit modem, lapan unit router dan dua (2) unit pencetak.

"Turut dirampas 115 kad sim, sembilan keping jadual perlawanan Euro 2020 serta kertas dan 43 keping catitan atau buku yang mengandungi catitan pertaruhan ke atas perlawanan bola sepak," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, masih terlalu awal untuk menentukan kejayaan Ops Soga VII yang masih berbaki kira-kira 20 hari lagi.

"Modus operandi kali ini agak berbeza daripada pengalaman sebelum ini dengan kebanyakannya menggunakan perkhidmatan secara dalam talian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata, pihaknya dan seluruh JSJ kontinjen akan melipat gandakan usaha dalam pemantauan dan pencegahan ke atas kegiatan catit taruh haram sempena UEFA Euro 2020.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk bersama-sama membanteras kegiatan yang tidak bermoral ini," katanya.

Artikel Berkaitan: