Md Amin isi kekosongan kerusi Naib Canselor UPSI

Profesor Datuk Dr Md Amin Taff.
Profesor Datuk Dr Md Amin Taff.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kekosongan kerusi Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diisi oleh Profesor Datuk Dr Md Amin Taff.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataannya berkata, pelantikan Md Amin dibuat bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa Khamis sehingga 23 Jun 2024.

Menurut kenyataan itu, pelantikan ini dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12(1) Perlembagaan UPSI.

"Md Amin, 50, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains Sukan dari UPSI pada tahun 2000, Postgraduate Diploma in Outdoor Education dan Ijazah Sarjana Outdoor Education dari University of Otago, New Zealand pada tahun 2004 seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falasafah (PhD) dalam Parks & Outdoor Recreation Management dari Universiti Putra Malaysia pada tahun 2000," kata kenyataan itu pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, Md Amin berpengalaman luas dalam bidang pendidikan, pengurusan dan juga konsultansi.

“Beliau juga telah menerbitkan lebih 120 buah buku, artikel jurnal, prosiding, kertas polisi, laporan jemaah menteri dan artikel akhbar,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Md Amin memulakan karier sebagai Guru Bukan Siswazah pada tahun 1993 hingga 2000 dan meniti kejayaan akademik serta pentadbiran sehingga dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI pada tahun 2017, selain menjalankan fungsi Naib Canselor UPSI.

"Beliau telah menyumbang kepakaran dan juga memaparkan kredibiliti kepimpinan melalui lantikan sebagai pakar rujuk dan ahli panel kesepakaran oleh pelbagai agensi termasuk lantikan oleh Jemaah Menteri Malaysia sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Insiden Bomba Lemas.

Artikel Berkaitan:

"Di peringkat antarabangsa, beliau pernah diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Pejabat Education Malaysia Washington DC, Amerika Syarikat, iaitu pejabat Education Malaysia terbesar di dunia," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, Md Amin juga pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung Persekutuan Kanu ASEAN, menubuhkan Asia Pasific Outdoor Recreation Network dan terlibat aktif dalam penganjuran Washington International Education Conference dan Konferens NAFSA.

"Atlet negara dalam sukan kayak ini juga telah mencatatkan pelbagai kecemerlangan dalam bidang sukan dan rekreasi antaranya muncul juara sukan kayak kebangsaan dan antarabangsa dari tahun 1993 sehingga 2004, mengilham serta menganjurkan pelbagai kejohanan sukan kayak dan rekreasi, menubuhkan UPSI Sports City, UPSI Adventure Park serta menerbitkan Kurikulum Pendidikan Kanu Kebangsaan yang digunapakai di seluruh Malaysia.

"Beliau juga mengilhamkan Anugerah Perdana Scholar Award di Amerika Syarikat yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kementerian percaya dengan pelantikan ini, Md Amin mampu menyumbang dan membawa UPSI ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.