X

Kindly register in order to view this article
!

MPV polis kejar penjenayah hingga ke sawah padi

Kenderaan MPV Polis mengejar kereta suspek.
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan manakala rakannya berjaya meloloskan diri selepas dikejar kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Penaga di sini, petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang itu kedua-dua mereka yang menaiki kereta Proton Saga dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah cuba menghampiri mereka dan mengarahkan untuk berhenti namun suspek terus memecut kereta melarikan diri hingga ke kawasan sawah padi.

"Menyedari kejadian itu, anggota kemudian meminta bantuan daripada tiga unit MPV yang lain dan mengejar kereta terbabit dari Jalan Bakau Tua melalui Jalan Rantau Panjang hingga ke Kota Aur, Penaga sebelum berjaya menahan kereta suspek.

"Polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun manakala rakannya meloloskan diri sebaik kenderaan yang dinaiki mereka berhenti dan usaha memburunya kini giat dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Noorzainy berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta menemui dua tiub penyedut minuman mengandungi dadah disyaki jenis heroin dan satu lagi dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.

Katanya, semakan dibuat mendapati suspek yang memiliki beberapa rekod lampau itu turut didapati positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, satu rakaman video berdurasi 17 saat memaparkan aksi MPV polis mengejar kereta suspek di atas ban yang tular di laman sosial sejak semalam dipercayai dirakam oleh penduduk kampung.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!