PKPD di tiga kampung di Sabah, Kelantan

Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kampung di Kelantan dan Sabah bermula Jumaat ini hingga 8 Julai.
Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kampung di Kelantan dan Sabah bermula Jumaat ini hingga 8 Julai.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu di tiga lokaliti di Sabah dan Kelantan bermula Jumaat hingga 8 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang dilaksanakan di Sabah membabitkan dua lokaliti sekitar Kota Belud dan Beaufort

Menurut beliau, lokaliti itu meliputi Kampung Tambulion Ulu dan Kampung Kukut.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

“Justeru, pelaksanaan PKPD ini memudahkan KKM melakukan saringan, menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi pelaksanaan PKPD di Kelantan, ia melibatkan Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Kota Bharu.

“KKM telah melakukan ujian saringan ke atas 63 orang penduduk di lokaliti tersebut dan 41 daripadanya dikesan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 65 peratus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di dua lokaliti di Tumpat, Kelantan, Felda Jengka Tujuh, Maran, Felda Inas, Kulai, Kampung Sinar Budi Baru, Kuching, Kampung Batu Layar, Pulau Banggi, Taman Wawasan, Beaufort, Lorong Pasir Putih Taman Pasir Putih Fasa 1, Putatan dan Perumahan Kilang Ladang Ong Yah Ho, Kinabatangan.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, seramai 754 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Selasa.

“Daripada jumlah ini, seramai 701 individu dikompaun manakala 53 lagi direman.

“144 individu gagal merekod butiran diri masuk premis, rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan di premis (141) serta tidak memakai pelitup muka (135).

“Tiada penjarakan fizikal (92), membawa penumpang berlebihan (84), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (78), Premis gagal patuhi arahan (11) dan lain-lain (69),” katanya.