Tokyo 2020: Atlet masuki fasa penting 30 hari terakhir

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

[DIKEMASKINI] ATLET negara yang sedang bersemangat tinggi untuk beraksi cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo, kini memasuki fasa paling penting menjelang 30 hari lagi sebelum temasya terbesar dunia itu berlangsung.

Seramai 23 atlet Malaysia telah mengesahkan tempat di temasya sukan terbesar dunia itu, manakala beberapa lagi atlet masih menunggu pengesahan daripada persatuan sukan antarabangsa masing-masing tatkala tempoh kelayakan akan tamat dalam masa terdekat.

Tempoh 30 hari menjelang Olimpik Tokyo yang dijadualkan bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini, perlu digunakan dengan sebaiknya oleh para atlet bagi memastikan mereka dapat mempamerkan prestasi terbaik selain mengelakkan risiko kecederaan yang mampu mengorbankan impian mereka beraksi di Olimpik.

Olimpik kali ini juga sangat berbeza kerana diadakan dalam situasi pandemik Covid-19 belum reda dengan kebanyakan negara termasuk Malaysia masih bergelut untuk mengekang penularan, sekalipun temasya itu ditangguhkan selama setahun.

Atlet dan pegawai yang terlibat perlu menjalani ujian calitan setiap hari, tiada kebebasan bergerak, kurang peluang beramah mesra dengan atlet lain serta tiada langsung interaksi dengan orang awam, suasana yang sangat janggal jika dibandingkan dengan edisi-edisi terdahulu.

Atlet juga terpaksa melalui tempoh latihan keras dan pertandingan secara kuarantin bagi tempoh lebih setahun ini, yang turut berisiko memberi kesan terhadap emosi dan mental mereka.

Namun, apa yang penting ialah keselamatan dan kesihatan lebih kurang 11,000 atlet berprestasi tinggi dari seluruh dunia yang hadir dengan impian mencatat sejarah bertanding di pentas Olimpik.

Bagi Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, hanya atlet yang menunjukkan karakter dan personaliti juara dalam mengatasi cabaran luar biasa ini, bakal mendapat kejayaan di Tokyo.

Artikel Berkaitan:

“Saya faham atlet teruja dan bersemangat untuk ke Olimpik, namun saya mahu mereka kekal fokus pada minggu-minggu terakhir ini, amat penting untuk mereka bersedia secara mental dan fizikal untuk ke Tokyo.

“Paling penting ialah memastikan mereka bebas daripada kecederaan. Jaga diri dan kesihatan. Kedua, jangan terpengaruh dengan khabar angin dan spekulasi tentang temasya, sekarang adalah masa untuk mencapai impian,” katanya.

“Kerja-kerja berkaitan pentadbiran, biar kami yang buat. Kami akan pastikan perjalanan kalian lancar dan kebajikan kalian terjaga. Saya mahu ingatkan semua orang, Olimpik kali ini tidak mudah, lima tahun menunggu selepas Rio 2016,” katanya.

Beliau turut menasihati atlet untuk bersedia mengharungi segala cabaran dan ranjau berduri bagi memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di pentas Olimpik, dengan misi emas pertama masih kekal.

Setakat ini, badminton kekal sebagai skuad terbesar apabila pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, perseorangan wanita Soniia Cheah, beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying telah melayakkan diri.

Mereka disertai Khairul Anuar Mohamad (memanah), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee (terjun), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan empat atlet pelayaran - Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.

Terbaru, dua pemain golf profesional Gavin Kyle Green dan Kelly Tan disahkan layak semalam, manakala Welson Sim, Phee Jinq En (renang); Cheong Jun Hoong (terjun); Lee Hup Wei, Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik artistik) turut berpeluang untuk beraksi di temasya Tokyo.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan penuh kepada atlet negara menggapai kejayaan di pentas Olimpik.

“Kita semakin hampir ke garisan mula yang telah lama dinantikan oleh para atlet kita, kini kita tinggal hanya 30 hari. Detik ini bukan sahaja ditunggu kontinjen kita, malah detik ini ditunggu kita semua.

“Kita tujahkan sokongan sekuatnya kepada atlet yang akan berjuang membawa obor harapan dan Jalur Gemilang di dada. 30 hari lagi melangkah menuju Olimpik Tokyo 2020. Ayuh Malaysia!,” katanya dalam hantaran media sosialnya.