PH hapus mekanisme kutipan tol sedia ada, perkenal formula baharu

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dedikasi Kerajaan PH untuk mengotakan janji PRU14 kian membenih apabila telah memulakan proses rundingan dengan syarikat konsensi tol, Gamuda Berhad.

Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan berkata, sebagai langkah pertama, kerajaan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuhraya di mana syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti.

“Lebuhraya yang terbabit adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

“Dengan kejayaan pengambil alihan tersebut, kerajaan bercadang untuk menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Justeru, sebagai ganti ‘congestion charge’ (caj kesesakan) akan diperkenalkan di mana pengguna lebuhraya akan hanya dikenakan bayaran ‘congestion charge’ yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari.

“Kadar tol dihapuskan sama sekali pada waktu “off-peak” antara jam 11 malam and 5 pagi, dimana penggunaan lebuhraya adalah percuma.

“Pengguna juga akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada bagi penggunaan waktu biasa,” jelasnya.

Pejabat Perdana Menteri turut menyatakan, hasil kutipan ‘caj kesesakan’ akan digunapakai untuk menampung kos operasi serta penyelenggaraan lebuhraya serta bayaran pinjaman.

Artikel Berkaitan:

“Lebihan kutipan akan disalurkan kepada satu dana pengangkutan awam, diguna untuk meningkat kualiti pengangkutan awam seluruh negara.

“Lain-lain perincian berkenaan cadangan ini akan di umumkan oleh Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu lagi, PH telah berjanji di dalam manifesto pilihan raya lepas untuk mengambil alih konsesi lebuhraya bertol dan menghapuskan bayaran tol secara berperingkat, menurut terma perjanjian konsesi.

“Ini sebagai langkah pertama kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup pengguna lebuhraya,” katanya.