'Pandangan UMNO sudah tidak relevan satu kesilapan besar'

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar pandangan pihak yang menyatakan UMNO sudah tidak relevan.

Beliau berkata, pandangan sebegitu adalah satu kesilapan besar malah mereka yang berkata demikian sedang bermimpi di siang hari dengan mengandaikan yang mustahil dan bukan-bukan.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah.

“Meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat, pohon UMNO nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan kepada rakan-rakan UMNO bahawa parti itu dilahirkan dengan air mata pengorbanan orang Melayu.

Menurut beliau, UMNO dilahirkan di Istana Melayu dan menjadi parti terbesar orang Melayu sejak 11 Mei 1946 malah UMNO mendepani rancangan Malayan Union oleh British demi survival bangsa Melayu,

“UMNO mempertahankan kedaulatan institusi diraja dan Raja-Raja Melayu. UMNO mengangkat kepentingan Melayu lagi memperkasakan syariat agama.

“UMNO jua sebuah parti politik semangat nasionalisme Melayu berpaksikan Islam. Kerana itu UMNO masih bertapak di hati Melayu disebabkan asas penubuhannya yang jelas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Namun, beliau menambah, UMNO tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bukan Melayu berdasarkan sejarah berpuluh tahun UMNO mengemudi teras pentadbiran negara sebagai bukti.

Katanya lagi, UMNO akan kembali berjuang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan amalan bermuafakat dan tidak berpecah belah umpama serumpun bak serai, sesusun bak sireh.

“Perjuangan UMNO pada PRU15 jauh lebih murni. Demi sebuah kebenaran dan kewajipan. Insya-ALLAH rakyat bersama UMNO kerana UMNO akan terus bersama rakyat,” katanya.