Perluas peranan TV Alhijrah

TV Alhijrah akan membayar zakat perniagaan buat pertama kali dalam sejarah sepanjang 11 tahun penubuhannya. (Gambar kecil: Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri)
TV Alhijrah akan membayar zakat perniagaan buat pertama kali dalam sejarah sepanjang 11 tahun penubuhannya. (Gambar kecil: Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan merancang untuk memperluaskan peranan TV Alhijrah sebagai medium dakwah dan kefahaman Islam dalam masyarakat di negara ini pada masa hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, beliau juga sempat mengadakan perbincangan mengenai perkara itu bersama Pengerusi TV Alhijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Katanya, kerajaan juga mengalu-alukan cadangan daripada orang ramai ke arah memperkasakan lagi saluran televisyen (TV) berkenaan.

"Saya amat hargai dan meneliti setiap cadangan anda untuk penambahbaikan stesen TV Islam pertama negara ini," katanya menerusi ciapan di akaun Twitter beliau.

Ciapan Dr Zulkifli di akaun Twitter beliau pada Selasa tentang cadangan memperluaskan peranan TV Alhijrah.
Ciapan Dr Zulkifli di akaun Twitter beliau pada Selasa tentang cadangan memperluaskan peranan TV Alhijrah.

Katanya, perkara lain yang turut disentuh dalam perbincangan bersama Hussamuddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf adalah mengenai pencapaian semasa TV Alhijrah.

Media pada Isnin melaporkan TV Alhijrah akan membayar zakat perniagaan buat pertama kali dalam sejarah sepanjang 11 tahun penubuhannya melalui keuntungan tahun 2020.

Dr Zulkifli berkata, beliau melakukan sujud syukur sebaik menerima khabar gembira itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris.

Artikel Berkaitan:

"TV Alhijrah adalah 'adik bongsu' jika dibandingkan dengan stesen TV lain.

"Namun, ia mempunyai kedudukan tersendiri, sentiasa disegani dan terus memperkukuh peranannya dalam usaha menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat," katanya.