Melaka benarkan ibadah korban

Kerajaan Melaka membenarkan perlaksanaan ibadah korban di surau dan masjid negeri ini kecuali di kawasan PKPD. Gambar kecil: Abdul Halim
Kerajaan Melaka membenarkan perlaksanaan ibadah korban di surau dan masjid negeri ini kecuali di kawasan PKPD. Gambar kecil: Abdul Halim
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka membenarkan perlaksanaan ibadah korban di surau dan masjid negeri ini kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Muftinya, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, ibadah korban hanya boleh dilakukan di rumah sembelihan terpilih dan tempat sembelihan sementara yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri dan pihak berkuasa agama negeri.

Menurutnya, bilangan dibenarkan dalam tempoh itu sebanyak lima ekor lembu serta kerbau dan 10 ekor bagi kambing atau biri-biri.

"Proses penyembelihan, lapah dan keratan asas perlu dilakukan di pusat sembelihan manakala menyiang dan membungkus dilakukan di kawasan lapang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Ibadah bermula selesai Solat Sunat Aidiladha pada 20 Julai sehingga 23 Julai depan iaitu pada hari Tasyrik pada jam 7 pagi hingga 6 petang.

"Surau dan masjid yang mempunyai kawasan lapang serta kemudahan sembelihan boleh membuat permohonan sebagai pusat sembelihan sementara termasuk kepada penternak yang mempunyai kawasan untuk aktiviti itu," katanya ketika sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Palah, di sini, pada Selasa.

Jelas beliau, korban hanya membabitkan warganegara dan kaedah pengagihan perlu dibuat secara langsung dari rumah ke rumah oleh petugas yang dilantik.

Katanya, peserta juga tidak dibenarkan berada dalam kawasan pengurusan ibadah melainkan petugas yang dilantik. Mereka perlu hadir untuk mengambil daging korban secara pandu lalu sahaja atau hantaran ke rumah

Artikel Berkaitan: