KAB meterai perjanjian kerjasama teroka pasaran RE di Vietnam

KAB
KAB
A
A
A

ANAK syarikat milik penuh Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB), KAB Energy Power Sdn Bhd (KABEP) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Janakuasa Pte Ltd untuk meneroka pasaran tenaga boleh baharu (RE) di Vietnam.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu, penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik dan mekanikal itu berkata, di bawah perjanjian itu, syarikat tujuan khas akan diwujudkan oleh KABEP dan Janakuasa dan berusaha mengambil alih pegangan majoriti dalam tiga projek loji hidrokuasa di Vietnam, dengan agregat kapasiti terpasang 180 megawatt (MW).

“Projek ini telah mempunyai perjanjian pembelian tenaga sedia dengan syarikat utiliti milik negara, Vietnam Electricity yang akan tamat antara Januari 2030 dan 2039. Projek ini memulakan operasi komersial antara 2015 dan 2019,” menurut KAB.

Sementara itu dalam kenyataan bersama, Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, perjanjian itu menunjukkan komitmen syarikat untuk memperluaskan bahagian penyelesaian tenaga hijau serta mengembangkan kedudukannya di rantau Asia.

“Pada masa yang sama, dengan permintaan elektrik yang meningkat di Vietnam, kami yakin penglibatan pertama kami di negara itu akan berjaya. Kami berharap untuk bekerjasama dengan Janakuasa bagi meningkatkan perkongsian jangka panjang kami dengan membangunkan projek hijau di Vietnam,” katanya.

Pengerusi Janakuasa, Ti Chee Liang pula memberitahu, syarikat itu telah membangunkan projek tenaga di Vietnam untuk menggalakkan kemajuan ekonomi di rantau ini serta menyokong pertumbuhan tenaga boleh baharu di negara berkenaan.

“Memandangkan Vietnam sebagai negara yang semakin menyerlah di ASEAN dengan pertumbuhan ekonomi yang cerah dan pertambahan penduduk, permintaan kepada tenaga telah meningkat dengan pesat.

“Komitmen kerajaan Vietnam kepada tenaga hijau menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi pembangunan pelbagai aset boleh baharu di Asia Tenggara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Janakuasa, syarikat pemaju tenaga swasta yang berpangkalan di Malaysia, Singapura dan Vietnam sedang membangunkan dua loji janakuasa penting bersama rakan kongsi yang kukuh iaitu loji janakuasa arang batu Duyen Hai 2 dan loji janakuasa berkapasiti 78MW di Hiep Thanh, kedua-duanya terletak di Vietnam. - Bernama