PUS Covid-19 hadir bekerja, kilang sarung tangan dikompaun

Mior Faridalathrash ketika mengetuai pasukan pemantau pematuhan SOP secara bersepadu bagi sektor perkilangan di daerah Taiping pada Rabu.
Mior Faridalathrash ketika mengetuai pasukan pemantau pematuhan SOP secara bersepadu bagi sektor perkilangan di daerah Taiping pada Rabu.
A
A
A

TAIPING - Kecuaian sebuah kilang memproses sarung tangan getah di sini yang membenarkan individu dalam pengawasan (PUS) Covid-19 hadir bekerja mengundang padah apabila dikenakan tindakan kompaun RM12,000.

Kompaun RM10,000 dikeluarkan ke atas pemilik kilang kerana memberi kebenaran manakala RM2,000 lagi ke atas pekerja terbabit kerana masuk ke dalam kawasan kilang dan bekerja.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam operasi bersepadu bermula jam 9 pagi itu, kilang berkenaan didapati membenarkan pekerja yang dikehendaki menjalankan kuarantin kendiri, hadir bekerja.

"Apabila kita semak rekod MySejahtera, kita dapati mereka ini terdiri daripada individu yang dikatakan suspek dan berisiko tinggi (jangkitan Covid-19), mereka sepatutnya tidak dibenarkan hadir bekerja tetapi ketika pemeriksaan didapati pekerja ini ada di premis berkenaan.

"Atas kesalahan itu, dua kompaun telah dikeluarkan kerana membenarkan pekerja berstatus suspek bekerja di kilang dan membenarkan pekerja memasuki premis itu," katanya pada sidang akhbar selepas mengetuai pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) secara bersepadu di sini pada Rabu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati kilang berkenaan turut melanggar SOP bagi sektor perkilangan yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini kerana beroperasi melebihi had pekerja ditetapkan.

"Kompaun berjumlah RM10,000 telah dikeluarkan ke atas pengusaha kilang selepas gagal memastikan kapasiti pekerja tidak melebihi 60 peratus," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, dalam operasi sama, sebuah lagi kilang memproses sarung tangan diarah tutup serta-merta selama seminggu selepas didapati gagal menjalankan sanitasi tiga kali sehari dan merekodkan 75 peratus jumlah pekerja dalam pengoperasian kilang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika pemeriksaan, kilang itu dikesan sengaja mengambil ringan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan memberi alasan masih mengamalkan penjarakan fizikal walaupun beroperasi melebihi kapasiti.

"Memanglah kita lihat tadi ada penjarakan tetapi ia sudah melanggar SOP ditetapkan MKN, alasan-alasan diberikan ini menunjukkan mereka ambil ringan dalam perkara ini.

"Selain dikenakan kompaun, kita turut mengeluarkan notis penutupan ke atas kilang terbabit," katanya.

Beliau berkata, operasi yang turut disertai beberapa agensi keselamatan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu telah menjalankan pemeriksaan ke atas enam kilang membabitkan tiga kilang sarung tangan, dua kilang sardin dan satu kilang barang peralatan hospital.

Katanya, secara keseluruhan sebanyak enam kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah keseluruhan RM50,000.

"Selain kesalahan dinyatakan, sebuah kilang peralatan hospital turut dikompaun kerana gagal memastikan pekerja mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki tempat mereka bekerja," katanya.